suria

Aspek Keselamatan Jadi Keutamaan Penganjur LTDL

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan pada perlumbaan jelajah berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2012, dijamin selamat di bawah kendalian anggota trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Marsyal.

Ketua Pegawai Operasi LTdL 2012 Emir Abdul Jalal berkata ini kerana pasukan trafik PDRM merupakan pasukan keselamatan perlumbaan basikal terbaik dunia.

"Pasukan trafik PDRM negara adalah personaliti paling penting dan diangkat sebagai pasukan keselamatan bagi mengawal perlumbaan berbasikal yang mendapat rangking pertama di dunia.

"Tidak dinafikan juga keupayaan pasukan Marsyal bukan sahaja terlibat di LTdL tetapi turut mendapat kepercayaan bertugas di Le Tour Indonesia, Taiwan, dan baru-baru ini di Mumbai (India).

"Dan saya percaya pasukan Marsyal di luar negara tidak berpeluang bertugas di luar negara seperti pasukan Marsyal Malaysia," katanya pada sidang akhbar penajaan TFX Venture Group di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, Selasa.

Emir berkata TFX menaja cermin mata jenama Bolle Safety dan Swiss Eye kepada pasukan keselamatan iaitu trafik PDRM dan Marsyal yang bertugas di perlumbaan LTdL 2012 pada 24 Feb ini di Terengganu.

"Pada perlumbaan itu nanti, seramai 112 anggota PDRM, 51 pasukan Marsyal, 50 anggota keselamatan dan 14 anggota keselamatan udara bertugas di sepanjang perlumbaan," katanya.

Beliau berkata kemalangan jalan raya adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dan ia mungkin berlaku disebabkan masalah kawalan keselamatan atau kesilapan pelumba itu sendiri.

Emir mengulas insiden yang menimpa skuad basikal negara ketika sesi ujian pemilihan ke Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2012 berdekatan Istana Kehakiman di Putrajaya pada Ahad lepas.

Dalam kejadian itu, pelumba basikal lebuh raya wanita negara Mariana Mohamed cedera parah manakala rakannya Masziyaton Mohd Radzi dan dua pelumba pelapis kebangsaan Ahmad Azri Ahmad dan Abdul Azizi Zahid cedera ringan selepas dirempuh sebuah kereta. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain