suria

Kelantan, PKNS Terikat Seri

KUALA LUMPUR: Kelantan dan PKNS Selangor sekadar seri 1-1 pada perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam Jumaat.

Pada babak separuh masa pertama kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol sekali gus menyerlahkan ketumpulan jentera serangan mereka.

Kemasukan penyerang import Kelantan dari Lubnan, Muhammad Ghaddar serta pemain sensasi Indra Putra Mahyuddin dan Nur Farhan Muhd pada separuh masa kedua nyata menghidupkan semula perlawanan yang suram.

Bermain di hadapan lebih 10,000 penonton akhirnya Kelantan berjaya mencari gol pertama hasil rembatan kencang ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-70.

Namun kesilapan berlaku pada minit ke-78 membuka ruang kepada PKNS apabila dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Fauzan Dziulkifli yang mengikat kepada kedudukan seri.

Sementara itu dalam saingan Liga Perdana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatat kemenangan besar setelah membelasah pasukan Majlis Bandaraya Johor Bharu 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Muar.

Jaringan pertama ATM disumbangkan oleh Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-49 diikuti empat gol oleh pemain import ATM, Marlon Alex James pada minit ke-62, 71, 72 dan 87.

Turut sama mencatat kemenangan besar perlawanan ialah pasukan Pos Malaysia yang menumpaskan Majlis Perbandaran Muar 4-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Gol Pos Malaysia dijaringkan oleh S.Sumindran pada minit ketujuh, G.Puaneswaran minit ke-52 dan 83 serta gol penyudah oleh Muhammad Fakhrul Aiman hadir dua minit kemudian.

Pahang pula menewaskan Harimau Muda 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menewaskan pasukan USM FC 2-0 menerusi jaringan Khairul Izuan Abdullah pada minit ke-9 dan Mohd Fauzi Abdul Majid pada minit ke-75.

Pasukan baru, Negeri Sembilan Betaria mencatat keputusan seri 1-1 kepada Johor di Stadium Hang Tuah, Melaka.

Perlis pula berdepan dengan kekalahan kedua apabila tewas 1-2 kepada Sime Darby di Stadium Utama, Kangar.

Dua gol Sime Darby dijaringkan Patrick Ronaldinho Wleh pada minit kelima dan Mohd Irme Mat pada minit ke-40 manakala gol saguhati Perlis pula dijaringkan oleh Lamin Conteh pada minit ke-55. - BERNAMA

Artikel Lain