suria

Pahang Pertaruh Pemain Muda Dalam Saingan Liga Perdana

TEMERLOH: Skuad Tok Gajah mempertaruhkan barisan pemain muda bagi saingan Liga Perdana musim ini.

Jurulatih Pahang Dollah Salleh berkata sekalipun skuad bimbingannya itu kini tidak lagi memiliki pemain berstatus "bintang", komitmen yang dimiliki pemain mudanya dijangka mampu memberi cabaran kepada pasukan lain musim ini.

"Dilihat daripada beberapa siri perlawanan persahabatan yang diadakan sebelum ini, para pemain muda telah menunjukkan komitmen dan prestasi yang baik," katanya, di sini Ahad.

Pahang akan membuka tirai liga dengan menentang MBJB FC di Stadium Mini Temerloh, di sini, Isnin.

Skuad Pahang akan beraksi di Stadium Mini Temerloh pada aksi Liga Perdana berikutan Stadium Darulmakmur, Kuantan ketika ini masih dalam proses dinaik taraf.

Dollah turut berharap penyokong tempatan dapat membanjiri stadium bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan Pahang.

Beliau berkata pemain import Pahang, Nana Yaw, bekas pemain 23 tahun skuad kebangsaan Ghana juga akan diturunkan pada Isnin dan diletakkan di bahagian serangan.

"Perlawanan pada Isnin adalah bagi menguji kewibawaan skuad muda Pahang, dan saya yakin mereka akan membuktikan keupayaan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain