suria

PKBM, MSN Bincang Mengenai Atlet Pecut Kebangsaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) akan bermesyuarat dengan Majlis Sukan Negara (MSN) pertengahan bulan ini bagi membincangkan masa depan atlet pecut kebangsaan, Siti Fatimah Mohamad yang membuat keputusan menyertai acara berbasikal.

Timbalan Presiden PKBM Datuk Naim Mohamad berkata mesyuarat tersebut dijangka berlangsung pada 16 atau 17 Jan.

"Seperti kita ketahui, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sebelum ini mempunyai masalah dalaman dan kita tidak tahu mengenai keadaan Siti Fatimah sewaktu berada dalam KOM. Apapun, kita akan menunggu keputusan mesyuarat berkenaan," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Atlet berusia 25 tahun dari Johor itu baru-baru ini membuat kejutan apabila menyatakan hasrat untuk beralih ke acara berbasikal berikutan kemelut dalaman KOM.

Menjawab satu pertanyaan, Naim yang juga Pengerusi Pembangunan Acara Trek PKBM berkata pihaknya harus menunggu keputusan ujian perubatan termasuk doping daripada Jawatankuasa Disiplin KOM.

Ditanya kemungkinan beliau mengadakan perjumpaan dengan Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menyelesaikan isu, Naim berkata beliau sedia berbuat demikian dalam masa terdekat.

Beliau turut berkata PKBM telah mencadangkan supaya Siti Fatimah dimasukkan ke acara pecut memandangkan beliau mempunyai kekuatan daripada segi pecutan.

"Tetapi kita juga tidak menolak kemungkinan meletakkan beliau dalam acara berbasikal lain yang sesuai pada masa depan," katanya.

Beliau berkata Siti Fatimah hanya akan dibenarkan berlatih bersama skuad elit berbasikal negara di Melbourne, Australia sekiranya melepasi ujian kelayakan yang dilakukan PKBM. - BERNAMA

Artikel Lain