suria

Wan Zack Belum Pasti Sertai Skuad Kim Swee Ke Australia

KUALA LUMPUR: Penyerang Harimau Muda A, Wan Zack Haikal Wan Mohd Noor belum pasti sama ada dapat menyertai skuad kendalian Ong Kim Swee bagi menghadapi tiga perlawanan persahabatan dengan tiga kelab Australia dari 10 hingga 22 Dis ini ekoran kecederaan lututnya yang masih belum pulih sepenuhnya.

Kecederaan tersebut yang dialaminya ketika perlawanan pertama kelayakan Olimpik 2012 menentang Jepun pada 21 Sept lepas di Stadium Tosu, Fukuoka, menyebabkan beliau terpaksa disisihkan daripada menyertai skuad itu ke Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.

Pemain kelahiran Pahang yang berusia 20 tahun ini berkata beliau masih dalam proses pemulihan daripada kecederaannya yang dijangka mengambil masa dua bulan lagi.

"Kini saya melakukan latihan senaman secara bersendirian untuk mempercepatkan pemulihan kecederaan lutut saya. Mengenai perlawanan persahabatan ke Australia, saya menyerahkannya kepada Kim Swee sama ada mahu membawa saya atau tidak ke sana," katanya kepada Bernama.

Skuad Bawah 23 negara dijadual menentang pasukan Sydney FC pada 13 Dis, Central South Mariner pada 15 Dis sebelum menutup aksi menentang Newcastle United pada 19 Dis.

Perlawanan tersebut merupakan persiapan awal skuad berkenaan sebelum menyertai Liga Singapura musim depan dan persediaan menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik 2012 menentang Syria, Bahrain dan Jepun pada Februari tahun depan.

Diminta mengulas mengenai perpindahan pemain Harimau Muda A ke dalam pasukan tempatan musim depan, Wan Zack yang pernah bermain dengan kelab divisyen 1 Slovakia, FC Vion selama tiga bulan berkata beliau masih setia bersama pasukannya sekarang.

"Saya akan terus bermain dengan pasukan saya kerana banyak pendedahan mengenai bola sepak yang saya perolehi ketika menentang pasukan hebat dari luar negara," katanya.

Tiga pemain yang melebihi usia 23 tahun musim depan dan tidak akan beraksi lagi bersama skuad B-23 ialah Mohd Muslim Ahmad yang memilih menyertai Terengganu, K. Gurusamy (Selangor) dan Mohd Zamir Selamat (Johor FC).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain