suria

Kontrak Guus Hiddink Bersama Skuad K'saan Turki Ditamatkan

ISTANBUL: Guus Hiddink, pengurus veteran yang sering dikaitkan dengan kelab Inggeris Chelsea telah ditamatkan kontrak sebagai jurulatih skuad kebangsaan Turki - 15 bulan selepas mengemudi pasukan berkenaan.

Keputusan untuk menamatkan kontrak itu adalah keputusan bersama setelah Turki gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Eropah.

Turki gagal mengatasi agregat 3-0 ke atas Croatia apabila sekadar seri 0-0 dalam perlawanan kedua yang berlangsung Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Hiddink tidak menolak kemungkinan akan kembali ke Chelsea ekoran penamatan kontraknya bersama Turki.

Hiddink, 65, pernah mengemudi Chelsea antara Februari hingga Mei 2009 sebagai pengurus sementara dan membawa pulang Piala FA Inggeris.

Beliau mempunyai hubungan yang akrab dengan pemilik kelab berkenaan, Roman Abramovich.

Sebelum Abramovich melantik André Villas-Boas sebagai pengurus Chelsea mengantikan Carlo Ancelotti, beliau berusaha memujuk Hiddink untuk meninggalkan Turki separuh jalan dan menyertai Chelsea.

Bagaimanapun, Hiddink menolak pelawaan tersebut atas dasar prinsip. Ini kerana dalam sejarah kariernya sebagai pengurus pada mana-mana pasukan pun, beliau tidak pernah menamatkan kontraknya separuh jalan.

"Buat masa ini, saya akan mengambil sedikit masa yang berehat dan selepas itu kita tengoklah apa yang akan berlaku tetapi saya tidak menolak yang saya pernah menjalani kehidupan yang mengembirakan di England," ujarnya kepada akhbar Inggeris, the Daily Telegraph.

Antara lain, jawatan yang mungkin sesuai untuk Hiddink ialah sebagai pengarah bolasepak - satu jawatan belakang tabir yang lebih tertumpu kepada soal-soal taktikal dan pembangunan bolasepak kelab.

Namun begitu terdapat juga spekulasi yang mengaitkannya kembali bersama Ajax Amsterdam.

"Memang benar, tidak berapa lama dahulu saya ada berbincang dengan Johan Cruyff (legenda Ajax dan anggota lembaga pengarah kelab) dan saya diberitahu bahawa pintu akan sentiasa terbuka untuk saya kembali ke kelab tersebut," kata Hiddink.

Beliau menjelaskan, jika kembali ke Ajax, beliau mungkin inginkan peranan yang berbeza iaitu mungkin sebagai penasihat bolasepak.

"Apa pun, saya belum bersedia untuk pencen dari bolasepak sepenuhnya...saya ingin terlibat dalam peranan yang berlainan mungkin sebagai penasihat atau perunding tetapi buat masa ini saya tidak nampak sebarang kemungkinan untuk bekerja sepenuh masa di Holland," katanya lagi.

Dalam sejarah kerjanya, Hiddink, pernah mengurus pasukan kebangsaan Korea Selatan, Australia dan juga Rusia.

beliau mengambilh alih skuad kebangsaan Turki pada Ogos tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain