suria

Mahkota Wira Milik Zulsyafiz

SEPANG: Gelaran juara keseluruhan sah menjadi milik Zulsyafiz Rosli (gambar) selepas berakshirnya perlumbaan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan), Ahad.

Zulsyafiz yang menjejakkan kaki di atas podium menamatkan perlumbaan sebanyak sembilan pusingan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 12 minit 59.207 saat dengan 16 mata dan kini mengumpul 152 mata, 32 mata mengatasi Mohd Hafiza Roza (Faito YSP Racing) yang berada di kedudukan kedua dengan 120 mata.

“Sasaran saya hanyalah untuk mengutip mata bagi mengukuhkan lagi kedudukan saya di tangga teratas namun setelah pesaing utama saya, Adib gagal beraksi di pusingan akhir, keyakinan saya mula bertambah dan saya sedar jika berjaya meraih kedudukan podium saya akan bergelar juara keseluruhan.

“Selepas berjaya berada di kelompok hadapan sejak dari awal perlumbaan, saya hanya berusaha untuk mengekalkan kedudukan saya dan mencuba untuk memintas pelumba di hadapan pada pusingan terakhir namun gagal,” jelas pelumba 16 tahun itu.

Juara bertahan, Mohd Adib Rosley yang gagal melayakkan diri ke perlumbaan akhir di kedudukan ketiga dalam senarai keseluruhan setelah mengutip 101 mata daripada sembilan pusingan Kejuaraan yang telah berlangsung.

Masih berbaki satu pusingan perlumbaan, Zulsyafiz berkata, keadaan jenteranya begitu baik dan banyak membantu meraih kemenangan di sini.

“Walaupun sudah bergelar juara, saya mahu meraih gelaran juara pada perlumbaan terakhir di Pulau Pinang nanti,” jelas pemenang tempat kelima keseluruhan kategori sama pada musim 2010.

Perlumbaan dimenangi oleh Mohd Khairul dli Azhar dari pasukan Suzuki Fortyone Racing dengan masa keseluruhan 12:59.207s diikuti Hafiza di tempat kedua, 12:59.532s.

Sementara itu, penentuan gelaran juara keseluruhan CP130 berterusan sehingga ke Pusingan 10 apabila pendahulu keseluruhan, Norizman Ismail dari pasukan Harian Metro TEQ SCK Honda Racing sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima untuk memungut tambahan 11 mata menjadikan 113 mata keseluruhan.

Sebelum ini, sehingga ke pusingan kelapan, Norizman berpeluang untuk meraih gelaran juara keseluruhan lebih awal sekiranya dia berjaya memenangi perlumbaan kali ini.

Perlumbaan sebanyak 13 pusingan yang berlangsung dalam keadaan hujan dimenangi oleh rakan sepasukannya, Mohd Affendi Rosli dengan masa keseluruhan 19:58.427s sekali gus menghidupkan peluangnya untuk mengejar kedudukan Norizman di tangga teratas.

Tempat kedua dimenangi oleh Abdul Muhaimin Roslan dari pasukan Yamaha Maju Motor Racing dengan masa keseluruhan 19:58.467s diikuti Mohd Zamri Baba (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM), 19:58.532s.

Affendi kini sekadar sembilan mata ketinggalan kepada Norizman dengan mengumpul 104 mata manakala Muhaimin naik ke kedudukan ketiga dengan mengumpul 88 mata.

Kemenangan Affendi membantu Harian Metro TEQ SCK Honda Racing mengesahkan gelaran Anugerah Berpasukan Keseluruhan menjadi milik mereka dengan mengumpul 209 mata diikuti pasukan Yamaha Maju Motor Racing kedua, 158 mata dan PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM ketiga, 157 mata.

Dalam kategori CP115, Mohd Rozaliman Zakaria berjaya meraih kemenangan pertamanya musim ini setelah dua pelumba di hadapan, Ridwan Bakri (AAP MAzoil Faito Racing) dan Mohd Rafie Naser (Suzuki FortyOne Racing) terjatuh pada pusingan terakhir.

Rozaliman menamatkan perlumbaan 10 pusingan dengan masa keseluruhan 15:47.724s diikuti Mohd Rozaiman Mohd Said kedua, 15:47.755s dan Shahril Izzuwan Mohd Noor (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) ketiga, 15:53.591s.

Kemenangan ini melonjakkan kedudukan Rozaliman ke tangga ketiga keseluruhan dengan 95 mata manakala Shahril terus mendahului senarai dengan mengumpul 128 mata. Rakan sepasukan Rozaiman, Zaidy Mohd Zaifaizal di tangga kedua dengan 111 mata.

Dalam senarai berpasukan, PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM kekal di tangga teratas dengan 205 mata diikuti Motul Yamaha YY Pang Racing 2, kedua dengan 192 mata dan Motul Yamaha YY Pang Racing 1 ketiga, 153 mata.

Pusingan ke-10 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2011 akan berlangsung di Padang Kota Lama, Pulau Pinang pada 3 dan 4 Disember depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain