suria

Sukan Sea: Skuad Polo Air Wanita Yakin Raih Pingat

PALEMBANG: Keputusan Thailand menarik diri di saat akhir acara polo air wanita, memberi peluang kepada pasukan Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa.

Selain Malaysia, hanya Indonesia dan Singapura yang akan bertanding di mana ketiga-tiganya akan bermain secara liga bagi mengumpul mata untuk ke perlawanan akhir.

Pada perlawanan pertama menentang Indonesia pagi tadi, skuad negara jelas bukan tandingan kepada pasukan tuan rumah yang mendominasi permainan dengan kemenangan 19 gol berbalas 3.

Ketua jurulatih Fan Kow Jan berkata atlet negara bermain terlalu lembut jika dibandingkan dengan pasukan lawan yang lebih gigih dan lebih fokus.

"Pemain kita juga kurang kesefahaman. Kita dapat lihat banyak salah faham semasa menghantar bola dalam perlawanan tadi," katanya kepada media selepas perlawanan itu.

Selain itu beliau turut mengakui skuad Malaysia yang baru dibentuk Julai lalu adalah skuad tercorot jika dibandingkan dengan dua pasukan yang lain.

Katanya penyertaan Malaysia dalam Sukan SEA kali ini lebih berupakan pendedahan kepada para atlet.

Bagi perlawanan menentang Singapura Jumaat, Fan tidak meletakkan harapan tinggi apatah lagi pasukan tersebut sudah bertanding hingga ke peringkat Sukan Asia.

"Objektif kita esok adalah untuk atlet kita belajar dan menimba pengalaman," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain