suria

Persatuan Sukan Diminta Jelaskan Tunggakan Sewa Stadium Segera

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta agar semua pihak terutamanya persatuan sukan agar segera menjelaskan hutang tertunggak sewa stadium kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kadar bayaran sewa penggunaan stadium yang ditetapkan adalah yang terendah di rantau ini malahan persatuan sukan mendapat diskaun daripada PSM setiap kali mereka menganjurkan kejohanan sukan.

"PSM perlukan duit tersebut untuk digunakan bagi menampung kos penyelenggaraan stadium demi keselesaan dan juga keselamatan pengguna," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Penyelarasan Belia dan Sukan 2011 di kementeriannya di sini.

Beliau berkata kerja penyelenggaraan stadium membabitkan kos yang besar dan PSM tidak boleh bergantung sepanjang masa kepada pihak kerajaan setiap kali ingin membaiki kerosakan stadium.

"Saya harap semua persatuan sukan sedar akan beban yang terpaksa ditanggung oleh PSM dan segera menjelaskan bayaran sekiranya mempunyai dana kewangan," katanya.

Shabery mengulas laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyebut bahawa tunggakan sewa kompleks sukan di bawah Perbadanan Stadium Malaysia seperti Kompleks Sukan Bukit Jalil, Stadium Putra Bukit Jalil dan Kompleks Sukan Negara Jalan Duta sehingga Januari lepas mencecah RM9.11 juta melibatkan 627 penghutang.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain