suria

Pembangunan Sukan Sepak Takraw Di Sabah Perlu Dipertingkatkan:Musa

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman mahu melihat lebih ramai pemain sepaktakraw di negeri ini menyerlah dan mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka) perlu memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan sukan mereka terutama dalam menganjurkan lebih banyak pertandingan.

Katanya melalui pertandingan yang dianjurkan dari peringkat akar umbi, pemain sepaktakraw dapat mengasah bakat mereka dan mendapat pendedahan untuk bersaing dalam sesuatu pertandingan.

"Saya mahu melihat lebih ramai pemain dari negeri ini mewakili negara dan membuktikan mereka mampu bersaing hingga ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika merasmikan Kejohanan Sepaktakraw Piala Presiden Astaka 2011 di sini malam tadi.

Kejohanan itu disertai lapan pasukan iaitu dari daerah Sandakan, Tawau, Beluran, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pedalaman Bawah, Pedalaman Atas dan pasukan Sukma negeri.

Menurut Musa kerajaan negeri sentiasa menyokong pembangunan sukan itu di negeri ini melalui penyediaan kemudahan sukan itu terutama penyediaan gelanggang yang sesuai di setiap daerah.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan permintaan Astaka untuk membina sebuah gelanggang tertutup sepaktakraw di daerah ini dalam usaha menggalakkan lagi sukan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Zhuhai Penentu Peluang Pelumba

Artikel Berikut

Artikel Lain