suria

Kemelut Badminton: Cari Jalan Penyelesaian Terbaik- Shabery

KEMAMAN: Kemelut sukan badminton negara bukan sekadar meresahkan hanya peminat malah memeningkan kepala Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Bermula dengan tindakan bekas pasangan beregu nombor dua negara Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Fairuzizuan Tazari keluar Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kini beregu utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pula dilaporkan berkerat rotan dengan jurulatih mereka Rexy Mainaky.

"Saya akan dapatkan maklumat yang lebih jelas berhubung perkara ini daripada BAM dan MSN (Majlis Sukan Negara), perkara ini sedang dipantau dengan lebih mendalam. "Saya tidak mahu lihat ia menjadi satu isu kontroversi yang berpanjangan, dan kita harap ada penjelasan tentang apa yang berlaku ini daripada kedua-dua pihak," katanya kepada Bernama selepas majlis ramah mesra dan penyampaian sumbangan Aidil Fitri kepada masyarakat Orang Asli di Dewan Orang Ramai Sungai Pergam di sini, Sabtu.

Ahmad Shabery mengulas kemelut terbaru yang melanda BAM apabila pasangan beregu emas negara itu dilaporkan enggan menghadiri sesi latihan hari pertama selepas Rexy pulang dari bercuti panjang, dengan alasan demam. Tindakan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kegagalan gandingan tersebut mengalahkan pasangan Korea Selatan Ko Sung Hyun-Yoo Yeon Seong pada Kejohanan Badminton Dunia di London, dua minggu lepas.

BAM dilaporkan menyalahkan program latihan Rexy sebagai antara punca kekalahan itu dan ia dibuat berdasarkan penerangan Insitut Sukan Negara manakala Rexy dalam kenyataan balasnya hari ini mendakwa pihak tertentu tidak menjaga kecergasan pasangan regu terbabit.

Mengulas sikap saling menuding itu, Ahmad Shabery meminta mereka berhenti berbuat demikian, sebaliknya mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah itu. "BAM perlu cari jalan bagaimana nak selesaikan ini kerana kita tidak mahu sasaran emas dalam Sukan Olimpik nanti terjejas, kerana mereka pasangan yang mampu beri emas. "Ini bukan mustahil dan kita sangat perlukan emas, dan badminton menjadi sukan sandaran utama kita untuk capai hasrat itu," katanya.

Bagi menyelesaikan kemelut itu, beliau berkata satu perjumpaan akan diadakan selepas Aidil Fitri antara semua pemain dengan pihak yang berkenaan sebagai langkah merungkai kekusutan yang berlaku. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain