suria

Universiade 2011: Skuad Berbasikal Pertaruh Muhammad Akmal

SHENZHEN: Buruan pingat skuad basikal negara di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) yang akan bermula di sini Jumaat tidak tergugat walaupun tanpa kehadiran jaguh berbasikal negara Azizulhasni Awang.

Sandaran pingat tanpa mengira warna bagi skuad berbasikal kini diletakkan kepada Mohammad Akmal Awang yang juga merupakan atlet elit dalam skuad berbasikal kebangsaan.

Mohammad Akmal akan mengambil bahagian dalam acara individual pursuit, point race dan lebuhraya 160km.

Pengurus pasukan Mohd Zufri Yazid berkata beliau yakin dengan kemampuan Mohammad Akmal berdasarkan rekod kejayaanya sebelum ini selain telah menjalani latihan persiapan di Chang Mai, Thailand sebelum berangkat ke sini.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Zufri berkata sasaran pingat dibuat kepada acara point race kerana ia lebih bersifat taktikal.

"Kita mempunyai lebih peluang untuk meraih pingat bagi acara ini memandangkan faktor fizikal bukan penentu utama bagi meraih pingat," katanya.

Mohammad Akmal berkata beliau akan cuba lakukan terbaik demi mendapat pingat.

"Pencapaian terbaik saya setakat ini adalah empat minit 41 saat yang dilakukan ketika menyertai Sukan Asian di Guangzhou, China menerusi acara individu pursuit pada tahun lepas," katanya.

Mohammad Akmal, 24, berkata beliau mahu memastikan bahawa pencapaian yang dicipta tahun ini mampu melepasi rekod pencapaian lepas.

Selain daripada Mohammad Akmal dua lagi atlet kebangsaan yang mengalas cabaran di Shenzen ialah Muhammad Rauf Amrun dan Kimbeley Yup.

Atlet berbasikal negara akan mula beraksi di Longgang International Cycling Course pada Sabtu ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain