suria

PAFA Tolak Peletakan Jawatan Khairul Azwan

IPOH: Pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) menolak peletakan jawatan pengurus pasukan bola sepak negeri, Khairul Azwan Harun, pada 7 Julai lepas.

Presiden Pafa Datuk Zainol Padzi Paharuddin berkata dengan keputusan itu, pengurusan Pafa meminta Khairul Azwan meneruskan tugasnya bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula 9 September ini.

"Pafa tidak merasakan beliau gagal walaupun skuad Seladang gagal berada dalam kelompok lima pasukan terbaik Liga Super. Sebenarnya Perak telah bangkit daripada antara pasukan tercorot musim lalu kepada kedudukan yang lebih baik musim ini," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Oleh yang demikian, Pafa meminta Khairul Azwan meneruskan tugas seperti biasa kerana keseluruhan pasukan dan peminat bola sepak negeri memerlukan usaha, tenaga dan komitmen beliau, katanya.

Khairul Azwan, yang mengurus skuad Seladang sejak November 2010, mengambil keputusan meletak jawatan sebagai pengurus pasukan negeri selepas Perak menduduki tangga keenam Liga Super bagi memenuhi janjinya berbuat demikian jika Perak gagal menempatkan diri dalam kelompok lima pasukan teratas dalam saingan liga itu.

Zainol Padzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Perak, berkata menubuhkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan di peringkat negeri untuk menyiapkan atlet Perak bagi menghadapi Sukan Malaysia 2012 di Pahang.

Katanya keputusan itu dibuat memandangkan Perak gagal memenangi sebarang pingat emas dalam Sukan Malaysia yang lepas di Kuala Lumpur.

"Jawatankuasa ini akan menentukan kriteria atlet yang akan dipilih ke Sukma 2012 serta menguji atlet yang dipilih oleh persatuan sukan negeri jika perlu untuk mewakili Perak," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu dianggotai oleh anggota Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah, Nolee Ashilin Mohd Radzi serta wakil Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, bekas atlet, atlet senior, pakar daripada pelbagai acara sukan dan wakil persatuan sukan negeri. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Akhir Copa Amerika

Artikel Lain