suria

Karathu Tidak Pandang Rendah Kepada Sabah

KOTA BAHARU: Ketua jurulatih Kelantan Datuk M. Karathu tidak memandang ringan keupayaan Sabah apabila kedua-dua pasukan itu bertarung pada pertemuan akhir Liga Super di Stadium Likas, Rabu ini.

Beliau berkata Sabah bukan pasukan yang mudah ditewaskan apatah lagi bertarung di gelanggang sendiri yang banyak memberi kelebihan kepada pasukan itu.

"Kelantan mempunyai misi yang sangat penting ketika bertemu Sabah iaitu untuk merangkul juara Liga Super buat pertama kali.

"Namun, Sabah bukan satu pasukan yang boleh dipandang ringan dan pemain Kelantan diingatkan perlu bekerja keras," katanya.

Karathu berkata tujuan utama pasukan The Red Warriors ke Sabah adalah untuk menang dan berharap dapat mengutip mata penuh jika mahu dinobatkan sebagai juara Liga Super yang baru.

"Ini perlawanan akhir (Liga Super) dan perlawanan yang akhir ini kita kena menang perlawanan di Sabah dan yang penting kita mahu menjadi juara," katanya.

Menurutnya kesemua kesebelasan utama Kelantan termasuk Nur Shahrul Idlan Talaha, Shakir Shaari dan Khairul Fahmi Che Mat akan diturunkan pada perlawanan itu nanti.

"Hanya Nurul Azuan Roya sahaja yang tidak dapat diturunkan kerana telah menerima dua kad kuning pada pertemuan lalu," katanya.

Karathu berharap anak buahnya itu tidak mempamerkan corak bertahan sebaliknya mengatur serangan sejak wisel ditiupkan dengan menunjukkan semangat juang yang tinggi.

Katanya kesemua pemain tidak berdepan masalah kecergasan biarpun berehat panjang kerana sepanjang rehat itu pemainnya sering mengadakan perlawanan persahabatan.-BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain