suria

Nicol Pertama Kali Sertai Terbuka Australia

MELBOURNE: Jaguh skuasy Malaysia Datuk Nicol David akan membuat penampilan sulung pada kejohanan Terbuka Australia di Canberra Ogos ini.

Pemain berusia 27 tahun ini menjadi pilihan utama untuk menjuarai Terbuka Australia setelah memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel, Terbuka Dunia (lima kali) dan Terbuka Britain (tiga kali).

"Saya amat teruja kerana berpeluang bermain pada kejohanan ini untuk julung kalinya, terutama apabila mendapat tahu tentang betapa berprestijnya Terbuka Australia dalam kejohanan skuasy dan sejarah sukan ini," katanya kepada Squash Australia melalui email.

Kali terakhir Nicol menyertai kejohanan di Canberra ialah pada 1999 apabila muncul juara Kejohanan Junior Australia.

"Terbuka Australia merupakan antara keutamaan saya pada tahun ini dan saya gembira kerana Squash Australia telah mengadakan semula acara ini," katanya.

Antara pemain terkenal yang akan menyertai Terbuka Australia kali ini ialah juara tahun lepas Madeline Perry dari Ireland Utara, juara 2006 Kasey Brown, Annie Au (2008) dan Joelle King (2009), di samping pemain adik-beradik dari Australia, Rachael dan Natalie Grinham.

Natalie adalah juara Terbuka Australia pada 2004, manakala Rachael menjuarainya pada 2005.

Kejohanan kali ini akan diadakan di gelanggang Royal Theatre, Canberra dari 8 hingga 14 Ogos.- BERNAMA

Artikel Lain