suria

Sepak Takraw: Sebanyak 16 Pasukan Sertai Kejohanan Pra-Kelayakan Super Series Di Melaka

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 16 pasukan akan menyertai Kejohanan Pra-kelayakan Super Series Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di Melaka mulai Khamis hingga Ahad depan.

Naib Presiden PSM, Mohd Shapian Ali, berkata antara pasukan yang turut serta adalah pasukan negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kejohanan ini untuk memilih lapan pasukan terbaik dan memperolehi mata tertinggi untuk menyertai grand final bagi merebut Piala Perdana Menteri," katanya kepada Bernama, di sini, Ahad.

Mohd Shapian berkata pra-kelayakan super series itu akan diadakan sebanyak tiga siri iaitu di Melaka 9-12 Jun, diikuti Perlis 23-26 Jun dan siri ketiga di Pulau Pinang dari 15-17 Julai.

Beliau berkata kejohanan itu juga untuk menentukan pasukan divisyen satu dan divisyen dua yang akan bertanding dalam kejohanan Super Series tahun ini.

Katanya kejohanan tersebut adalah merupakan salah satu usaha PSM untuk mengembalikan kegemilangan negara dalam sukan sepak takraw di peringkat antarabangsa.

Mohd Shapian, yang juga Presiden persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu (PSTNT), berkata Terenggganu akan menyediakan sebuah pasukan mantap bagi menghadapi kejohanan itu.

Menurut beliau seramai 12 orang pemain, kebanyakannya pemain pasukan Sukan Malaysia 2012 yang dilatih oleh bekas jurulatih kebangsaan Thailand Witaya Bontal telah dipilih untuk mewakili negeri itu.

Terengganu kehilangan beberapa pemain tunggak utama pasukan negeri itu kerana dipilih mewakili pasukan kebangsaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain