suria

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Diharap Dibaiki Segera

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu diminta supaya mempercepat kerja-kerja membaikpulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZI), yang runtuh dua tahun lepas kerana Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sudah tidak mampu menampung jumlah penonton yang ramai.

Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh berkata, oleh kerana pasukan Terengganu kini berada dalam prestasi yang baik dengan beberapa orang pemainnya menjadi pujaan peminat, jumlah penonton kini juga semakin meningkat setiap kali perlawanan diadakan.

"Terengganu ada dua pasukan iaitu pasukan negeri dan pasukan T'Team. Pasukan negeri kini berada di puncak liga manakala T'Team juga menunjukkan prestasi yang baik sejak akhir-akhir ini.

"Prestasi yang bagus ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan Terengganu itu menyebabkan peminat bola sepak datang ramai dan SSINS hanya mampu menampung 12,000 penonton sahaja," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Che Mat yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata, seperti perlawanan separuh akhir Piala FA semasa pasukan Terengganu menentang Pahang pada 16 Mei lepas, aspek keselamatan tidaklah begitu terjamin kerana ada peminat bertindak memanjat pagar dan tembok untuk memasuki SSINS setelah kehabisan tiket.

Katanya, oleh kerana sambutan peminat yang mengalakkan dan stadium tidak mampu menyediakan jumlah tempat duduk yang banyak, maka pihak persatuan terpaksa menanggung kerugian.

"Paling merisaukan apabila pasukan Terengganu menjadi tuan rumah kepada Kelantan dalam Liga Super pada Jun ini, tentu ramai penyokong kedua-dua pasukan itu datang memenuhi stadium sebelum kedua-dua pasukan itu bertemu pada perlawanan akhir Piala FA 11 Jun depan.

"Kalau nak kira, untuk peminat Terengganu sendiri pun dah tidak cukup tempat, inikan pula peminat dari Kelantan yang dijangka ramai datang untuk menyaksikan perlawanan itu nanti," katanya.

Bagaimanapun beliau sedar untuk membaik pulih stadium itu perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk soal keselamatan dan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa.

Ketika ini pasukan Terengganu mengambil alih teraju Liga Super daripada Kelantan setelah menang bergaya 5-0 ke atas Pahang malam tadi manakala Kelantan pula kecundang 1-2 kepada T'Team.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain