suria

143 Peserta Berentap Pada Golf Jemputan Terengganu Masters 2011

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 143 pemain golf profesional dari lapan negara bakal berentap pada kejohanan Golf Jemputan Terengganu Masters 2011 yang akan berlangsung di Kuala Terengganu Golf Resort, Tok Jembal dari 3 hingga 7 Jun ini.

Kejohanan kali ini akan menampilkan 88 pemain golf profesional dari Malaysia, 35 pemain profesional dari Australia, Brunei, Jepun, Korea, Thailand, Singapura dan Taiwan serta 20 peserta amatur.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd Said berkata Singapura antara negara yang menghantar paling ramai peserta dengan 13 pemain diikuti Taiwan seramai sembilan pemain.

"Kejohanan selama lima hari itu turut disertai juara Pakistan Master 2008, Airil Rizman dari Malaysia," katanya pada persidangan media di sini, Isnin.

Abdul Rahin berkata, penganjuran kejohanan itu bertujuan mempromosi Terengganu sebagai satu daripada destinasi sukan golf terkemuka melalui penganjuran golf bertaraf profesional.

"Dengan penglibatan peserta dari luar negara ia dapat memperkenalkan Terengganu sebagai destinasi golf di peringkat antarabangsa," katanya.

Kejohanan yang masuk tahun keenam ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 'Pro-am' dan 'Masters Golf' yang menawarkan hadiah keseluruhan RM150,000.- BERNAMA

Artikel Lain