suria

Ancelotti Dipecat Selepas Kalah Bertemu Everton

CARLO Ancelotti dipecat selaku pengurus Chelsea sebaik sahaja pasukan itu menamatkan kedudukan di tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).

Kelab itu telah mengeluarkan arahan sebaik sahaja perlawanan terakhir liga tamat dengan menyaksikan Chelsea dikalahkan Everton 0-1.

Malah terdapat beberapa akhbar Britain melaporkan bahawa Ancelotti dimaklumkan mengenai pemecatannya ketika dia sedang berjalan masuk ke terowong laluan pemain menuju ke bilik persalinan sebaik sahaja perlawanan itu tamat.

Jurulatih dari Itali itu mula mengendalikan pasukan ini pada tahun 2009 dan telah membawa pasukan menjulang trofi liga dan Piala FA musim lalu.

Namun musim ini tuah tidak berpihak kepadanya apabila terpaksa menyerahkan gelaran juara kepada Manchester United. Di samping itu juga, Ancelotti turut berjuang untuk membuktikan pembelian Fernando Torres yang bernilai RM247 juta pada Januari lalu berbaloi, namun sebaliknya berlaku. Torres hanya berjaya menjaringkan satu gol dalam 18 perlawanan.

“Musim ini prestasi pasukan tidak seperti yang dijangkakan dan pihak kelab merasakan perlu melakukan perubahan menjelang persiapan musim depan.

“Kami sentiasa mengalu-alukan kedatangan Carlo kerana dia turut mencipta sejarah pasukan sebelum ini. Dan dia layak dihormati. Tetapi Chelsea mempunyai objektif jangka panjang dan ia tidak akan berubah. Kini kami memberi perhatian untuk mencari pengurus baru bagi mengendalikan kelab ini.

“Selepas ini tiada sebarang penjelasan lagi sehingga pengurus baru akan dilantik,” jelas kenyaataan kelab yang dikeluarkan awal pagi Isnin.

Ancelotti menrupakan pengurus yang keempat dipecat oleh pemilik kelab itu, Roman Abramovich sejak September 2007 dengan Jose Mourinho, Avram Grant dan Luiz Felipe Scolari. Hanya Guus Hiddink sahaja yang membuat keputusan untuk meninggalkan kelab itu pada 2009.

Manakala Hiddink dan jurulatih Porto, Andre Villas Boas menjadi perhatian untuk menggantikan posisi Ancelotti ini.

Artikel Lain