suria

Golf: Chieh Dan Aretha Terus Cengkam Kedudukan Pendahulu

ALOR GAJAH: Pemain muda Taiwan, Chieh Po Lee mengekalkan kedudukan pendahulu Kejohanan Golf Terbuka Amatur Malaysia ke-109 selepas tamat pusingan ketiga di A'Farmosa Resort, di sini, Sabtu.

Chieh, 16, menamatkan pusingan ketiga dengan catatan satu bawah par 71 untuk mengumpul keseluruhan 13 bawah par 203, dua pukulan di hadapan pencabar terdekat Daniel Bringolf dari Australia.

Bringolf melakarkan lima bawah par 67 pada pusingan ketiga untuk mengumpul 11 bawah par 205 diikuti pemain India Abhijit Chadha dengan jumlah 210 pukulan.

Pemain Thailand, Rattanon Wannasrichan menduduki tempat keempat dengan jumlah pukulan empat bawah par 212 manakala pemain berbakat dari Filipina Jobim Carlos yang berada di tempat ketiga semalam terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

Carlos yang berusia 18 tahun berkongsi tempat kelima dengan seorang lagi pemain Thailand Natipong Srithong dan kedua-duanya mencatat jumlah pukulan dua bawah par 214.

Pemain negara Low Khai Loon muncul pemain tempatan terbaik dengan menduduki tangga ke-57 jumlah pukulan tiga atas par 219, memperbaiki kedudukanya di tangga ke-76 pada pusingan kedua semalam.

Dalam kategori wanita pula, pemain negara Aretha Pan Hern turut mengekalkan kedudukan pendahulu dengan melakukan catatan tiga bawah par 69 pada pusingan kedua hari ini.

Beliau mengumpul 137 pukulan, kelebihan dua pukulan di hadapan pencabar terdekat Chi Wang dari Taiwan diikuti pemain Filipina, Jayvie Agojo dengan 140 pukulan.

Lebih 150 pemain dari 15 negara - Australia, Bangladesh, Guam, Hong Kong, India, Korea Selatan, Myanmar, Singapura, Thailand, Taiwan, Filipina, Sri Lanka, Nepal, Laos dan tuan rumah Malaysia mengambil bahagian dalam kejohanan anjuran Persatuan Golf Malaysia (MGA).

Lima kedudukan teratas:

Lelaki:

203 - Chieh Po Lee (TWN 65, 67, 71 205 - Daniel Bringolf (AUS) 69, 69, 67 210 - Abhijit Chadha (IND) 69, 70, 71 212 - Rattanon Wannasrichan (THA) 71, 72, 69 214 - Natipong Srithong (THA) 71, 70, 73; Jobim Carlos (PHI) 68, 71, 75

Wanita:

137 - Aretha Pan Herng (MAS) 68, 69 139 - Chi Wang (TWN) 70, 69 140 - Jayvie Agojo (PHI) 69, 71 141 - Hsin En Tsai (TWN) 70, 71 143 - Dottie Ardina (PHI) 71, 72 - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain