suria

FAM Tubuh Pasukan Petugas Khas Banteras Pengaturan Perlawanan

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam membanteras pengaturan perlawanan di negara ini.

Timbalan presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata pasukan petugas khas itu bukan hanya memantau pasukan kebangsaan, tetapi persatuan bola sepak negeri-negeri.

"FAM tidak mahu skandal mengatur perlawanan yang berlaku di negara ini pada 1995 berulang. Jadi saya menasihatkan pemain dan pegawai Malaysia tidak mengulangi episod ini atau mereka akan susah teruk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diketuai Ketua Keselamatannya Chris Eaton di sini Khamis.

Bola sepak Malaysia dicemari teruk dengan skandal pengaturan perlawanan pada 1995, di mana berikutan dengan itu satu siasatan polis dijalankan dan lebih 100 pemain dilarang bermain sepanjang hidup.

Tengku Abdullah berkata FAM akan juga mengetatkan pemeriksaan terhadap pemain khasnya apabila Liga Malaysia tahun depan membuka pintunya untuk pemain asing.

Mengenai khabar angin bahawa Liga Malaysia sekarang juga terbabit dengan pengaturan perlawanan, beliau berkata mereka yang ada maklumat hendaklah memaklumkan kepada FAM oleh kerana badan bola sepak kebangsaan itu tidak dapat mengambil tindakan berdasarkan khabar angin.

Sementara itu, Eaton berkata pasukan tersebut kini menyiasat skandal pengaturan perlawanan di Jerman, Finland dan Singapura, dan penyiasatan ini membawa beliau ke Malaysia.

"Saya akui daripada siasatan kami, beberapa rakyat Malaysia terbabit dalam pengaturan perlawanan. Tetapi kes ini tidak membabitkan badan kebangsaan (FAM)," kata beliau.

Eaton mengakui bahawa beliau tidak ada makluman mengenai pengaturan perlawanan dalam Liga Malaysia.

Ditanya mengenai pasukan kebangsaan Zimbabwe yang palsu yang telah mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan pasukan kebangsaan Malaysia pada Julai 2009, beliau berkata FIFA masih menyiasat kes ini.

"Jika didapati bersalah, FIFA boleh melarang mereka. Terpulanglah kepada bidang kuasa negaranya sendiri," kata beliau.

Menurut laman web FIFA, Polis Antarabangsa (Interpol) telah menyelaraskan beberapa operasi yang berjaya yang mensasarkan perjudian haram di Asia, dijalankan sepanjang musim Piala Dunia 2010, membabitkan polis di seluruh China, Malaysia, Singapura dan Thailand.

Lebih 5,000 individu ditangkap dalam beberapa serbuan yang dijalankan di hampir 800 tempat perjudian haram, yang mengendalikan lebih USD155 juta (RM469 juta) pertaruhan.- BERNAMA

Artikel Lain