suria

Sukma Di Lembah Klang Jadi Petunjuk Kepada Negeri

KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia ke-14 yang akan diadakan di sekitar Lembah Klang dari 2 hingga 12 Jun ini dengan kos maksimum RM8.5 juta, diharap menjadi petunjuk kepada negeri-negeri untuk berjimat ketika menganjurkannya.

Setiausaha Pengelola Sukan Malaysia ke-14 Mohd Sofian Hamzah berkata walaupun temasya tahun ini dianjurkan dengan kos sederhana, kebajikan atlet dan kemeriahan acara itu dijangka tetap setanding dengan apa yang dianjurkan di negeri.

"Majlis Sukan Negara selaku penganjur temasya lebih mementingkan pertandingan acara sukan itu sendiri dengan bantuan agensi kerajaan yang lain serta sumbangan swasta," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Mohd Sofian berkata jumlah RM8.5 juta itu merangkumi kos pengurusan dan emolumen, perkhidmatan dan pembekalan, penginapan, sajian makanan dan pengangkutan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebelum ini menganggarkan temasya pada Jun ini akan menelan belanja RM7 juta.

Pahang, tuan rumah Sukan Malaysia ke-15 pada tahun depan, dijangka memerlukan RM150 juta untuk menganjurkannya manakala ada negeri-negeri yang menjadi tuan rumah sebelum ini membelanjakan RM100 juta.

Temasya Sukan Malaysia ke-14 yang melibatkan penyertaaan 3,336 atlet dan 1,235 pegawai akan mempertandingkan 19 sukan pilihan bagi merebut 1,444 pingat yang ditawarkan.

Acara pembukaan pada 5 Jun dan penutupan pada 12 Jun akan diadakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras.

Mohd Sofian, yang juga Ketua Cawangan Pengurusan Acara MSN, berkata langkah penjimatan itu tidak akan mengganggu kelancaran temasya itu sebaliknya hanya melibatkan sedikit kelewatan dalam perkara tertentu.

Katanya, sebagai contoh, keputusan acara sukan dari 17 venue di sekitar Lembah Klang mungkin lewat tiba ke pusat media utama di MSN Bukit Jalil kerana semua keputusan itu dikendalikan secara manual dan bukan melalui kemudahan tekanologi maklumat seperti temasya sebelum ini.

"Bagi kemudahan ICT untuk sistem maklumat dan keputusan, MSN dapat menjimatkan RM7 juta," katanya.

Di Seremban, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Abdul Samad Ibrahim berkata Negeri Sembilan menyasarkan kutipan 19 pingat emas dan kedudukan lima terbaik pada temasya Sukan Malaysia itu.

"Antara acara yang dijangka boleh menyumbang emas ialah silambam, judo, lawan pedang, tenis, akuatik dan polo air," katanya.

Negeri Sembilan akan menyertai 16 daripada 19 acara yang dipertandingkan.

"Kita tidak menyertai acara kenu, sofbal dan mendayung," kata Abdul Samad.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain