suria

Tiada Pemain Berpengalaman Punca Kalah: Wan Jamak

KOTA BAHARU: Kedah terpaksa akur kegagalannya menurunkan pemain lama dan berpengalaman di bahagian serangan akibat kecederaan menyebabkan pasukan itu kecundang kepada Kelantan 0-2 di gelanggang lawan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam Jumaat.

Namun begitu, jurulatih pasukan itu, Wan Jamak Hassan berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan kesebelasan anak buahnya itu.

"Saya terpaksa akur dengan keputusan itu bahawa kegagalan menurunkan pemain lama dan berpengalaman terutama di bahagian serangan akibat kecederaan punca kekalahan kita kepada Kelantan," katanya selepas perlawanan itu di sini, malam Jumaat.

Beliau juga mengakui kekuatan permainan yang ditunjukkan kesebelasan Red Warriors di bawah bimbingan Datuk M.Karathu ditambah dengan sokongan moral penyokong yang memenuhi stadium itu.

Beliau percaya kehilangan beberapa tonggak utama di barisan penyerang memberi kesan kepada corak permainan menentang pasukan tuan rumah Kelantan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kelantan, Karathu memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak buahnya terutama pada separuh masa kedua selepas memasukkan pemain simpanan Mohd Khalid Jamlus pada minit ke-54 walaupun gagal memanfaatkan 45 minit sepasuh masa pertama menyebabkan kedua-dua pasukan terikat 0-0. - BERNAMA

Artikel Lain