suria

MOM Minta Indonesia Tidak gugurkan Biliard, Snuker Dan Bola Sepak Wanita

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membuat rayuan kepada Indonesia, penganjur Sukan SEA ke-26, supaya tidak menggugurkan tiga acara tetap iaitu biliard, snuker dan bola sepak wanita pada kejohanan itu November ini.

Setiausaha Kehormatnya Datuk Sieh Kok Chi berkata MOM juga akan menghantar tiga wakilnya Prof Datuk W.Y Chin, Prof Datuk Zakaria Ahmad dan Datuk A. Sani Karim ke mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Bali, Indonesia pada Jumaat depan bagi membincangkan perkara tersebut.

MOM membuat keputusan tersebut memandangkan bukan hanya Malaysia yang tidak berpuashati dengan tindakan Indonesia itu tetapi juga negara lain di rantau ini termasuk Singapura dan Laos, katanya pada Sabtu.

Kejohanan itu akan diadakan di Jakarta dan Palembang, dari 11 hingga 25 Nov ini. Selain menggugurkan beberapa acara tetap, negara penganjur itu juga mengurangkan bilangan acara sukan pada kejohanan itu termasuk acara menembak, berbasikal dan pelayaran.

Tindakan tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan persatuan sukan di negara ini, dan mereka telah meminta MOM bertindak tegas bagi membantah tindakan tersebut.-BERNAMA

Artikel Lain