suria

Selangor PKNS Ungguli Takhta Liga Perdana

KUALA LUMPUR: Selangor PKNS menempatkan diri ke kedudukan teratas Liga Perdana setelah menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 1-0 pada perlawanan ketiga yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di Kelana Jaya, malam Isnin.

Tuan rumah yang kini meraih sembilan mata nyata tidak mensia-siakan peluang apabila berjaya memecah kebuntuan mencari jaringan tunggal untuk mengutip tiga mata penuh sekaligus mengetepikan saingannya, USM FC yang gagal meneruskan rekod tanpa kalah.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, USM FC gagal mengutip tiga mata penuh untuk menyaingi Selangor PKNS dalam berkongsi mata menerajui takhta liga apabila kalah tipis 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Johor Baharu, Johor mencatat kemenangan kedua apabila mengalahkan Majlis Perbandaran Muar 2-0.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh Azwan Arif pada minit ke-56 dan Safian Roslan (min-77).

Di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak mencatat kemenangan selesa 3-0 apabila membenam cabaran SDM Navy.

Gol tuan rumah dijaringkan oleh Zamri Morshidi pada minit ke-8 dan Bobby Gonzales (min-43 dan 90).

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang, pasukan kelab Kuala Lumpur Sime Darby yang bertandang ke tempat lawan menang tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang.

Gol Sime Darby dijaringkan oleh Mohd Raimi Md Noor pada minit ke-8 dan 79 dan Abdul Muiz Talib (min-62) manakala gol tuan rumah pula dijaringkan oleh Idzwan Salim pada minit ke-42 dan Muhammad Elfie El Yaz Harizam (min-57).- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain