suria

PBNS Sasar Tiga Kejuaraan Musim Depan

SEREMBAN: Pasukan Negeri Sembilan mensasarkan tiga piala iaitu Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia, pada kempen Liga Malaysia yang bermula bulan depan, kata Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Selasa.

Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil memandangkan pasukan itu telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim baru itu.

Sasaran tu berdasarkan pencapaian tahun ini di mana pasukan itu merangkul Piala FA dan naib juara Piala Malaysia, katanya pada majlis memperkenalkan pegawai dan pemain Liga Super musim 2011 di sini.

Mohamad, yang juga Menteri Besar, berkata mereka telah mendapatkan khidmat tujuh pemain baru untuk menggalas cabaran pada musim baru.

Pemain baru tersebut ialah tiga pemain kebangsaan Farizal Marlias (penjaga gol), Ahmad Fakri Saarani (penyerang), Norhafiz Zamani Misbah (pertahanan), bekas penyerang Kelantan Hairuddin Omar, yang pernah beraksi untuk Negeri Sembilan pada 2009.

Bekas penyerang Harimau Muda Ahmad Aminuddin Shaharuddin, bekas pertahanan KL Plus Irwan Fadzli Idrus dan bekas pemain tengah Selangor PKNS G. Mahathevan.

Mohamad berkata antara pemain berpengalaman yang dikekalkan termasuk Shukor Adan, Idris Karim dan pemain kebangsaan S. Kunalan serta gandingan kembar yang juga pemain kebangsaan Aidil Zafuan Abd Radzak dan Zaquan Adha.

Katanya Shukor dan Hairuddin, masing-masing dilantik sebagai ketua dan penolong ketua pasukan manakala Datuk Abd Halim Abd Latif dan Wan Jamak Wan Hassan pula, masing-masing dikekalkan sebagai pengurus pasukan dan ketua jurulatih.

Pada majlis itu, syarikat pengeluar pakaian sukan Lotto diumumkan sebagai penaja kelengkapan pakaian sukan untuk pasukan Negeri Sembilan musim depan dengan kos penajaan berjumlah RM250,000. - BERNAMA

Artikel Lain