suria

Malaysia Tersekat Dalam Buruan Emas Di Hari Ketujuh

NEW DELHI: Buruan emas oleh kontinjen Malaysia pada hari ketujuh temasya Sukan Komanwel di sini tidak berhasil apabila atlet negara hanya mampu menyumbang dua perak dan sebutir gangsa Ahad.

Malaysia memulakan saingan dengan pingat perak oleh penembak wanita Nur Ayuni Halim dan gangsa oleh Nur Suryani Mohd Taibi dalam acara individu 10m Air Rifle.

Pada sebelah petang, Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong merangkul perak dalam acara terjun irama 10m platform lelaki dengan persembahan cemerlang.

Saingan hari ini turut menyaksikan atlet Malaysia terlepas beberapa pingat khususnya penembak pilihan Nur Suryani hanya mampu memperoleh gangsa manakala Nur Ayuni terlepas emas dengan hanya dua mata menentang penembak Singapura.

Seperti dijangkankan, skuad memanah pulang dengan tangan kosong dalam acara recurve individu lelaki dan wanita. S. Anbarasi tersasar emas dalam acara recurve individu wanita manakala penembak Hasli Izwan gagal menyerlah dalam acara individu 25m centrefire pistol. Pada keseluruhannya, Malaysia hilang peluang untuk memburu 42 emas yang ditawarkan pada hari ini.

Isnin, atlet negara akan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya lapan acara akhir khususnya dalam sukan terjun, menembak dan boling padang di mana 15 lagi pingat emas menjadi rebutan.

Dengan hanya empat hari lagi sebelum berakhir sukan itu, juara bertahan Australia mendahului senarai pungutan pingat dengan 61 emas diikuti tuan rumah India (28) dan England di tempat ketiga dengan 26 butir emas.

Ketika aksi terus dijalankan di gelanggang, kontroversi pula melanda di luar arena pertandingan.

Presiden Persekutuan Sukan Komanwel, Mike Fennell, mengakui temasya sukan itu berjalan lancar tanpa sebarang penangguhan atau pembatalan acara tetapi isu-isu lain masih menghantui pihak penganjur.

Aduan mengenai peminat gagal mendapatkan tiket untuk menyaksikan pertandingan tetapi sindiket di Delhi menjual tiket dalam pasaran gelap, menyebabkan pihak penganjur mengambil tindakan tegas.

"Kita tidak membendung perkara seperti itu...kami sudah membuat laporan polis dan memantau kadaan ini," kata pengerusi jawatankuasa penganjur, Suresh Kalmadi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Atlet Malaysia Hari Ini

Artikel Lain