suria

Piala Sultan Selangor Kembali Ke Selangor, Diadakan 16 Okt Depan

SHAH ALAM: Kejohanan bola sepak Piala Sultan Selangor edisi kesembilan kembali ke Selangor dan dijadualkan diadakan pada 16 Okt depan.

Pada tahun lepas kejohanan itu diadakan di Singapura yang turut menjuarai kejohanan itu.

Piala Sultan Selangor diilhamkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bagi merapatkan hubungan antara kedua-dua pihak dijadualkan diadakan di Stadium Shah Alam.

Sultan Selangor selaku penaung kejohanan, yang diperkenalkan pada 2001, hari ini menerima sumbangan penajaan berjumlah RM910,000 daripada pelbagai syarikat korporat.

Sumbangan terbesar diterima daripada syarikat kejuruteraan marin, Benalac Sdn Bhd yang menyumbang RM500,000 selaku penaja utama kejohanan tahun ini, diikuti dengan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) (RM200,000).

Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) (RM60,000), Taliworks Corporation Berhad (RM50,000), Splash (RM50,000) dan Sunway Group (RM50,000).

Pada majlis sama, baginda turut menerima bola dan jersi yang akan digunakan oleh pasukan veteran dan pasukan pilihan Selangor pada kejohanan kali ini yang ditaja oleh Adidas Malaysia Sdn Bhd.

Terdahulu, penganjur pengerusi Piala Sultan Selangor 2010 dan pengurus pasukan Selangor, Datuk Abdul Karim Munisar berkata bagi penonton kejohanan itu cabutan bertuah akan diadakan serta akan dihiburkan dengan persembahan konsert oleh artis-artis tempatan ‘evergreen’, selain persembahan gimnastik. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain