suria

LTdL Kembali Semula Ke Langkawi Tahun Depan

LANGKAWI: Perlumbaan berbasikal berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL) kembali semula ke Langkawi selepas lapan tahun apbila pulau peranginan itu menjadi laluan pembuka tirai edisi 2011 pada Februari depan.

Naib Presiden Persatuan Lumba Basikal Kebangsaan Malaysia (PLBKM) Datuk Naim Mohamad berkata Langkawi merupakan antara 10 peringkat perlumbaan LTdL pada tahun depan.

Perlumbaan LTdL kali terakhir diadakan di pulau itu pada 2003.

"Kita sedang membuat tinjauan laluan yang dipilih untuk menentukan jarak perlumbaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa menyaksikan Cabaran Basikal Bukit Antarabangsa Langkawi (LIMBC) 2010 di Harbour Park, Pantai Kok di sini, Ahad.

Pada februari lepas, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah melahirkan rasa sedih kerana tidak memilih Langkawi sebagai laluan pelumbaan LTdL.

Katanya walaupun tidak menjadi laluan pertama setiap tahun, Langkawi mungkin akan dipilih dua tahun sekali.

Naim berkata penyertaan pasukan LTdL 2011 dijangka bertambah berbanding tahun lepas. Beliau yakin akan menambah pasukan dengan kewangan kukuh LTdL 2011 menjadi lebih hebat di samping akan memberi pulangan pendapatan kepada negara.

Sebanyak 20 pasukan terbaik termasuk pasukan profesional dan pasukan kebangsaan dari negara luar akan mengambil bahagian. Katanya hadiah perlu mengikut tahap badan antarabangsa sekurang-kurang sebanyak RM600,000 berbanding sebelum ini antara RM400,000 dan RM500,000.

Beliau berkata, pembiayaan penganjuran LTdL adalah ditanggung kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan manakala penaja lain sedang dalam perundingan.

"Buat masa ini perlantikan pegawai-pegawai LTdL 2011 belum dibuat, manakala pihak persatuan lumba basikal akan membantu dibahagian teknikal," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain