suria

Gerrard Belum Tawar Hati Terhadap Liverpool

KAPTEN Liverpool, Steven Gerrard (gambar) mengesahkan dia akan kekal bersama kelab itu selepas mendedahkan perasaan terujanya untuk bekerjasama dengan Roy Hodgson dan Joe Cole pada musim depan.

Timbul spekulasi mengaitkan pemain tengah berusia 30 tahun itu akan meninggalkan The Reds sekembalinya daripada tugas antarabangsa dengan Real Madrid dan Inter Milan dikenal pasti sebagai destinasi terbarunya.

Namun, Gerrard yang kembali menjalani latihan disusuli perbincangan bersama Hodgson memberitahu dia akan kekal di Anfield.

"Saya tidak mahu melepaskan peluang bertemu Roy Hodgson secara tertutup dan amat teruja dengan rancangan masa depannya untuk pasukan.

"Saya hanya kembali menjalani latihan di Melwood, Selasa dengan disertai beberapa pemain Piala Dunia yang lain. Saya tidak sabar untuk beraksi pada musim baru," kata Gerrard dalam laman web Liverpool.

Gerrard yang mengetuai England di Afrika Selatan ekoran ketiadaan Rio Ferdinand turut memuji usaha membawa masuk Cole secara perpindahan percuma.

"Saya amat mengenai Cole memandangkan kami bersama-sama memperkuat England. Dia berjaya membuktikan kehebatannya dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL). Jadi saya berasa gembira beraksi disampingnya dengan memakai jersi merah The Reds," ujarnya.

Artikel Lain