suria

Hodgson Sah Pengurus Baru Liverpool

Hodgson, calon pilihan The Reds untuk mengisi jawatan Benitez. - Foto AFP
Hodgson, calon pilihan The Reds untuk mengisi jawatan Benitez. - Foto AFP
Hodgson, calon pilihan The Reds untuk mengisi jawatan Benitez. - Foto AFP

ROY Hodgson dilantik sebagai pengurus baru Liverpool dan akan mengemudi kelab itu selama tiga tahun.

Bekas pengurus Fulham dan Inter Milan itu akan mengadakan sidang media selepas mengadakan latihan pra musim pada hari pertamanya di Melwood.

"Ia adalah tanggungjawab besar dalam bola sepak dan saya berasa bangga kerana diberi kepercayaan untuk menggalas cabaran bersama kelab terkemuka di Britain. Saya tidak sabar untuk bertemu pemain dan penyokong pasukan ini," katanya dalam laman web Liverpool.

Hodgson akan mengisi kerusi panas yang ditinggalkan Rafael Benitez selepas menamatkan kontraknya selama enam tahun di Anfield atas persetujuaan bersama.

Liverpool sebelum ini masih berteka teki mengenai bakal pengganti Benitez sehingga beberapa nama dikaitkan dengan jawatan itu.

Bekas Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish yang kini duta akademi untuk Liverpool diberi tanggungjawab untuk membantu Pengarah Urusan, Christian Purslow mengenal pasti calon pengganti sesuai.

Pengurus Aston Villa, Martin O'Neill, Didier Deschamps (Marseille), Frank Rijkaard (Galatasaray) dan bekas pengurus Real Madrid, Manuel Pellegrini adalah antara calon yang sentiasa hangat dikaitkan dengan spekulasi itu.

Namun Hodgson tetap menjadi pilihan utama The Reds.

Keupayaan Hodgson mula menarik minat kelab itu selepas membantu Fulham mara ke pusingan akhir Liga Europa dan menewaskan Juventus musim lalu.

Beliau turut memenangi Anugerah Pengurus Terbaik oleh Persatuan Pengurus-pengurus Liga pada musim 2009/2010.

Karier Hodgson selaku pengurus bermula sejak mengemudi Halmstad pada 1976. Dia juga pernah membimbing Bristol City dan Blackburn Rovers.

Pengurus berusia 62 tahun itu turut melakukan tugas di peringkat antarabangsa dengan memimpin Switzerland, Finland dan Emiriah Arab Bersatu.

Artikel Sebelum

Van Persie Dibawa Ke Hospital

Artikel Berikut

Artikel Lain