suria

Rashid Minta Pemain Jangan Leka Dengan Kejayaan Malam Tadi

KUALA LUMPUR: Skuad Piala Thomas negara diingatkan supaya tidak dibuai kejayaan yang diraih malam ini, memandangkan cabaran besar iaitu China sedang menanti pada perlawanan separuh akhir.

Ketua jurulatih badminton negara Rashid Sidek berkata para pemain mesti terus fokus untuk menghadapi juara bertahan dan pilihan pertama kejohanan itu.

Rashid berkata Malaysia mempunyai peluang untuk menewaskan China dan pernah melakukannya di gelanggang mereka sendiri pada edisi 2002 di Guangzhou pada peringkat separuh akhir.

"China juga rasa gementar sebab mereka tahu kita boleh kalahkan mereka," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan suku akhir kejohanan Piala Thomas di Stadium Putra di sini semalam.

Pada perlawanan itu, Malaysia mengalahkan Denmark 3-2 sekaligus melayakkan diri ke pusingan separuh akhir yang akan berlangsung Jumaat ini.

Jurulatih beregu negara Rexy Mainaky berkata pasukan Malaysia mempunyai peluang menundukkan China sekiranya perseorangan nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei berjaya menumpaskan ayam tambatan China, Lin Dan.

"Harap Chong Wei boleh kalahkan Lin Dan. Jika Lin Dan kalah, pasukan China akan goyah dan kita punya kelebihan untuk menewaskan mereka," katanya.

Dalam perlawanan menentang China nanti, Rexy berkata kemungkinan besar gandingan baru Mohd Zakry Latif-Thien How Hoon diturunkan semula selepas melihat keserasian gandingan mereka ketika menentang juara beregu lelaki All England, Lars Paaske-Jonas Rasmussen.

"Melihat pada perlawanan malam ini, gandingan mereka amat meyakinkan. Mungkin mereka dapat menghasilkan sesuatu (kemenangan) apabila menentang China, walaupun kita tahu beregu China itu memang kuat," katanya.

Rexy berkata Mohd Fairuzizuan Tazari tidak diturunkan malam ini bagi meredakan kemarahan penyokong badminton tempatan berikutan insiden semalam.

"Kita takut kalau regu Fairuzizuan-Zakry kalah malam ini penyokong akan marah dan mungkin akan serang Fairuzizuan. Jadi kita simpan Fairuzizuan malam ini untuk melindungi dia," katanya.

Selepas kalah dalam perlawanan menentang beregu kedua Jepun, Kenichi Hayakawa-Kenta Kazuno semalam, Mohd Fairuzizuan gagal mengawal perasaan dan terikut-ikut dengan provokasi penonton hingga mahu meluru ke arah penonton. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain