suria

Hoki: Malaysia Ada Peluang Ke Final

IPOH: Malaysia mencerahkan peluang ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila menewaskan China 2-1 pada perlawanan liga satu pusingan di sini malam ini.

Malaysia melengkapkan jadual perlawanan dengan melonjak ke tangga teratas kedudukan dengan 11 mata dalam pertandingan melibatkan tujuh negara kali ini.

Bagaimanapun, nasib Malaysia untuk megesahkan tempat ke final bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan Korea Selatan, Pakistan dan Australia pada Sabtu ini.

Juara bertahan India, yang menduduki tangga kedua dengan 10 mata, akan mengesahkan tempat ke perlawanan akhir mereka jika berjaya mengatasi pasukan tercorot Mesir pada perlawanan akhir liga.

Korea Selatan, Pakistan dan juara dunia Australia, kini terikat dengan lapan mata dan mana-mana pasukan yang menang akan berkongsi mata dengan Malaysia untuk merebut tempat ke final dengan perbezaan gol.

Pakistan akan menentang Korea Selatan manakala Australia pula berdepan dengan China untuk melengkapkan jadual perlawanan.

Dalam pertemuan Malaysia-China, gol pertama negara diperolehi melalui Muhammad Amin Rahim yang memukul deras pukulan sudut penalti pada minit ke-38 untuk menewaskan penjaga gol China, Su Rifeng.

Bagaimanapun, China berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-55 selepas Liu Yixian menyempurnakan pukulan sudut penalti. Malaysia terus menggandakan asakan selepas itu tetapi serangan yang dilancarkan berjaya dikekang oleh barisan pertahanan China yang mula bermain secara agresif.

Malaysia berjaya memperoleh mata berharga menerusi Azlan Misrom pada minit ke-62.

Sementara itu, pada perlawanan sebelum itu, Korea Selatan dan Australia seri 2-2.

Australia mendahului seawal minit kelima melalui jaringan Kieran Gowers sebelum Korea Selatan menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Nam Hyun Woo pada minit ke-25.

Australia menggandakan asakan pada separuh masa kedua dan pukulan Matt Ghodes pada minit ke-46 gagal diselamatkan penjaga gol Korea Lee Myung Ho.

Bagaimanapun, kecekapan Ro Jong Hwan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-58 berjaya mengikat Australia 2-2.

Dalam satu lagi perlawanan, Pakistan berjaya mengutip mata penuh setelah membelasah Mesir 6-2.

Pakistan mendahului 3-0 pada separuh masa.

Gol Pakistan dijaringkan Muhammad Touseeq pada minit ke-12, Muhammad Zubair (19), Muhammad Imaran (29), Abdul Haseem Khan (40, 52) dan Muhammad Waqas (42).

Mesir memperolehi gol menerusi Mohammed Hassan pada minit ke-50 dan 70. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain