suria

Piala Thomas: Malaysia Turunkan Barisan Terbaik Bertemu Nigeria

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menurunkan barisan terbaiknya dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Nigeria, pada kejohanan Piala Thomas yang akan bermula di Stadium Putra, Bukit Jalil, esok.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki Rashid Sidek yang kembali melatih anak buahnya hari ini selepas dikuarantin akibat positif Influenza A (H1N1), berkata strategi menurunkan barisan terbaik ialah bagi membolehkan pemain tersebut merasai suasana pertandingan.

"Di atas kertas, Malaysia, pilihan ketiga pasti mudah mengatasi Nigeria, pasukan pilihan ke-11. Nigeria juga bukannya terkenal sebagai kuasa besar dalam arena badminton," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Rashid bagaimanapun tidak mahu memandang rendah keupayaan pemain Nigeria kerana Malaysia tidak pernah bermain dengan negara tersebut dalam mana-mana kejohanan sebelum ini dan tidak mempunyai pengetahuan tentang kekuatan mereka.

Keadaan tersebut, katanya boleh membahayakan Malaysia sekiranya pemain negara terlalu memandang rendah keupayaan lawan yang tidak diketahui.

Sebagai rekod, Nigeria merupakan juara bagi pusingan Kelayakan bagi benua Afrika selepas menumpaskan pasukan Afrika Selatan 3-0.

Sementara itu, abangnya, Misbun yang juga jurulatih perseorangan negara dan turut dikuarantin di rumah selepas tiga anaknya mengalami demam panas, turut kembali bersama skuad kebangsaan pagi ini.

Misbun turut sependapat dengan Rashid bahawa Malaysia perlu menurunkan barisan utama ketika menentang Nigeria, pada perlawanan yang akan bermula pada pukul 6 petang esok.

"Ranking hanya di atas kertas. Yang utama memberikan pemain-pemain suasana sebenar pertandingan walaupun kejohanan ini berlangsung d gelanggang sendiri, katanya.

Skuad kebangsaan pagi tadi menjalani latihan selama dua jam, bermula pukul 8 pagi di Stadium Putra sebelum diberikan pelepasan sehingga petang ini. Barisan kemungkinan:

MALAYSIA: Datuk Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Muhd Hafiz Hashim, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong, Mohd Zakry Abdul Latif/Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari.

NIGERIA: Olaoluwa Fagbemi, Ifraimu Jinkam, Eneojo Abah, Ibahim Adamu, Edicha Ocholi, Victor Makanju. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Chong Wei Jadi Duta Samsung

Artikel Lain