suria

Malcom Kuasai Peringkat Ketiga JM2010

BUTTERWORTH: Pelumba pasukan Medscheme, Lange Malcom, melakukan pecutan terakhir ke garisan penamat bersama rakan sepasukan untuk muncul juara peringkat ketiga perlumbaan Jelajah Malaysia 2010 (JM2010) yang berakhir di Auto City Juru, dekat sini, semalam.

Malcom, pelumba Afrika Selatan itu, menamatkan perlumbaan sejauh 126.1km dari Taiping, dengan catatan masa dua jam 59 minit dan dua saat, catatan sama dengan rakan sepasukan Arran Brown.

Tempat ketiga disandang oleh pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Zamri Salleh dengan masa yang sama dengan pemenang.

"Kerjasama pasukan amat baik sekali hari ini khususnya dalam peringkat perlumbaan yang singkat berbanding perlumbaan semalam. Kemenangan ini adalah baik tetapi bukan mudah," kata Malcom.

Selepas saingan kelmarin, Malcom berkata pasukannya sedar ia bukan mudah untuk memenangi gelaran individu keseluruhan (jersi kuning) dan mengambil keputusan untuk menumpukan kepada perlumbaan hari ini.

Selain menjuarai peringkat ini, Malcom juga menguasai kategori pecutan dengan menyarung jersi hijau selepas mengumpul 32 mata, sama seperti Mohd Zamri Salleh dari ATM dan pelumba negara Amir Mustafa Rusli.

Seperti peringkat sebelum ini, pasukan Giant Asia Racing Team memastikan David McCann mengekalkan jersi kuning, selaku pendahulu perlumbaan keseluruhan dengan jumlah catatan masa 12 jam lapan minit dan 41 saat.

Pelumba Indonesia Matnur dari pasukan Polygon Sweet Nice mengekalkan jersi merah apabila mendahului kategori Raja Bukit dengan mengumpul lapan mata, diikuti Johann Rabie (Medscheme) dengan tujuh mata dan pelumba Wilayah Persekutuan Suhardi Hasan dengan empat mata.

"Saya tidak bimbang walaupun tidak menang gelaran Raja Bukit pada peringkat hari ini. Masih ada peluang untuk mengumpul mata," kata Matnur.

Dalam pada itu, pelumba negara Amir Mustafa Rusli masih menguasai jersi putih dengan mendahului kategori pelumba ASEAN terbaik serta jersi biru, selaku pelumba tempatan terbaik.

Pasukan Malaysia, Le Tua, meneruskan penguasaan dalam acara berpasukan dengan mendahului kategori pasukan keseluruhan dan pasukan ASEAN selepas mengumpul catatan masa 36 jam 37 minit dan 40 saat selepas tiga peringkat perlumbaan.

Peringkat keempat jelajah itu merangkumi jarak 93.1km dari Auto City, Juru ke Sungai Petani hari ini tanpa zon bukit dan hanya satu zon pecut di Padang Serai. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain