suria

Taklimat Sukan Komanwel Dan Asia Mom Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan sesi taklimat dan perjumpaan dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan berhubung penyertaan negara ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Sukan Komawel bakal diadakan di New Delhi, India pada 3 hingga 14 Oktober ini, manakala Sukan Asia diadakan di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November.

"Pada mesyuarat Sabtu ini, kita akan memberi taklimat kepada semua persatuan sukan berhubung senarai atlet mereka yang akan mewakili negara ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia," kata Setiausaha MOM Datuk Sieh Kok Chi kepada Bernama, hari ini.

Beliau berkata, semua persatuan terlibat telah dimaklumkan mengenai pertemuan itu dan mereka akan diberi penerangan berhubung dokumentasi dan garis panduan yang ditetapkan, khususnya mengenai jumlah penyertaan mengikut nombor.

Sieh berkata, persatuan sukan kebangsaan diberi tempoh sehingga 24 Mei untuk mengemukakan borang penyertaan mengikut nombor itu.

Katanya, senarai muktamad penyertaan mengikut nama selepas itu bagaimanapun tidak akan sama dengan jumlah awal penyertaan mengikut angka diberikan.

"Sementara itu, Jawatankuasa Pemilihan MOM akan bermesyuarat pada 31 Mei, 1 dan 2 Jun ini untuk mengesahkan jumlah penyertaan atlet ke kedua-dua sukan berkenaan," katanya.

Sieh berkata dianggarkan, seramai 230 atlet dan pegawai akan mewakili negara ke Sukan Komanwel manakala Sukan Asia pula, kira-kira 400 atlet dan pegawai akan terlibat.

Pada Sukan Komanwel New Delhi, sejumlah 17 acara sukan dipertandingkan iaitu akuatik (renang dan terjun), memanah, olahraga, badminton, tinju, lumba basikal, gimnastik, hoki, boling padang, bola jaring, ragbi tujuh sebelah, menembak, skuasy, ping pong, tenis, angkat berat dan gusti.

Sukan Asia Guangzhou pula menawarkan 42 jenis sukan antaranya bola lisut, bola keranjang, boling, billiard, kenu dan kayak, catur, kriket, "dancesport", perahu naga, ekuestrian, bola sepak, golf, bola baling, judo, kabaddi, karate, perahu layar, pentathlon, "roller sports", mendayung, sepaktakraw, taekwondo, triathlon, bola tampar dan wushu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain