suria

United Semakin Hampir Pertahan Trofi EPL

Giggs meraikan gol penaltinya ke atas Spurs di Old Trafford, malam tadi. - Foto AFP
Giggs meraikan gol penaltinya ke atas Spurs di Old Trafford, malam tadi. - Foto AFP
Giggs meraikan gol penaltinya ke atas Spurs di Old Trafford, malam tadi. - Foto AFP

HARAPAN Manchester United untuk mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk musim keempat berturut-turut semakin hampir.

Berbekalkan baki dua perlawanan, pengurus Sir Alex Ferguson kini boleh menarik nafas lega selepas anak buahnya menewaskan antara pasukan konsisten musim ini, Tottenham Hotspur 3-1 di Old Trafford, malam tadi.

Kemenangan itu membolehkan Red Devils mengungguli tangga teratas liga dengan mengumpul 79 mata, lebih satu perlawanan daripada pencabar terdekat, Chelsea yang akan melayan kunjungan Stoke City pada malam ini.

Selepas aksi memberangsangkan Paul Scholes minggu lalu, kali ini tiba giliran seorang lagi kuda tua United, Ryan Giggs yang menyuntik kejayaan pasukan itu.

Giggs membuka jaringan awal pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti sebelum Ledley King mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-70.

Gol kedua King pada musim ini dilihat sebagai langkah besar buat Spurs untuk terus selesa di tempat keempat tetapi aksi di gelanggang sendiri lebih memihak kepada United apabila Nani meletakkan pasukan itu didepan pada minit ke-81.

Ketika perlawanan berbaki empat minit, Giggs sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan United di depan Chelsea dengan kelebihan dua mata.

Menurut Ferguson, sebelum perlawanan getir itu bermula, dia menyifatkan Spurs antara pasukan terkukuh yang perlu dijinakkan sepanjang kariernya sebagai pengurus United.

Spurs dilihat begitu optimis untuk melakar kemenangan pertama di Old Trafford dalam tempoh 20 tahun dan akan menjadi pasukan pertama menewaskan semua kelab 'big four' dalam satu musim selepas Leeds pada musim 1994/1995.

Ia adalah pencapaian terbaik Spurs ketika dibawah pimpinan Pengurus Harry Redknapp.

Di sebalik kejayaan United, pasukan itu terpaksa mengharungi baki dua perlawanan tanpa kelibat penyerang Wayne Rooney.

Rooney terpaksa diketepikan pada perlawanan itu kerana menanggung kecederaan pangkal paha sejak Khamis lalu dan posisinya diisi Dimitar Berbatov.

"Kecederaannya sukar digambarkan. Ia melibatkan kecederaan di pangkal paha. Sejujurnya, saya rasa ia memerlukan masa selama dua hingga tiga minggu untuk pulih," kata Ferguson.

Sementara itu, Chelsea pula perlu menundukkan Stoke pada malam ini jika mahu merampas kembali kedudukan teratas liga. Jika gagal, pasukan kendalian pengurus Carlo Ancelotti itu mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk menjulang trofi liga pada musim ini.

Chelsea bukan saja perlu berada pada tahap terbaik tetapi mengelak melakukan sebarang kesilapan pada perlawanan malam ini. Kesilapan kecil saja boleh meletakkan Chelsea di zon merbahaya kerana selepas ini mereka akan bertemu Liverpool di Anfield pada Ahad depan.

Liverpool juga mungkin akan mengatur pelbagai strategi untuk menyekat kemaraan Chelsea memandangkan mereka begitu terdesak untuk mengisi kelompok empat teratas bagi menghidupkan peluang beraksi dalam kejuaraan Eropah pada musim depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain