suria

Piala Dunia Bukan Saingan Sukma Melaka: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Temasya sukan dwitahunan, Sukan Malaysia (Sukma) akan tetap diadakan pada tarikh yang ditetapkan Jun ini walaupun bertembung dengan tarikh Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata, Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung dari 11 Jun hingga 11 Julai bukannya saingan kepada edisi ke-13 Sukma di Melaka yang akan diadakan dari 10 hingga 19 Jun.

"Saya percaya Melaka akan mengambil kesempatan daripada demam bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung pada Jun ini dan tidak melihat Piala Dunia sebagai saingan.

"Sebaliknya temasya Sukma ini menjadi pelengkap kepada budaya dan semangat bersukan kepada rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma di Parlimen, di sini hari ini.

Selain itu katanya, Melaka sudah membuat semua persiapan termasuklah kesungguhan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob dan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang telah pergi ke semua negeri bagi mempromosikan Sukma.

Mengenai mesyuarat berkenaan, Ahmad Shabery berkata, beberapa isu dibangkitkan termasuk keputusan mesyuarat Lembaga Pengurus Majlis Sukan Negara untuk menganjurkan Sukma setiap tahun bermula tahun depan.

Menurutnya, setiap negeri masih berpeluang menganjurkan Sukma setiap dua tahun dan tahun perantara, Sukma akan diadakan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil.

"Sukma di Kuala Lumpur itu akan digabungkan dengan Kejohanan Mini Olimpik. Faktor had umur akan dibincangkan kemudian...ia satu isu yang ditimbulkan dan tidak diputuskan lagi.

"Mini Olimpik melibatkan atlet elit dan Sukma melibatkan atlet berusia bawah 23 tahun. Majlis Sukan Negara akan berbincang dengan persatuan-persatuan sukan kebangsaan mengenai hal ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, tujuan Sukma diadakan setiap tahun ialah bagi membolehkan persatuan dan atlet sentiasa meningkatkan prestasi khususnya dalam pertandingan-pertandingan yang kompetitif seperti Sukan Malaysia.

Selain daripada isu berkenaan, Ahmad Shabery berkata, Pahang bersedia untuk menjadi tuan rumah Sukma pada 2012 mengantikan Perlis yang sepatutnya menjadi tuan rumah pada tahun berkenaan.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma hari ini bersetuju supaya tua rumah Sukma pada 2014 diberikan kepada Perlis. Negeri Perlis belum bersedia dengan kemudahan-kemudahan untuk Sukma.

"Sebuah jawatankuasa teknikal akan ditubuhkan bagi membantu Perlis. Bagaimanapun, ia bergantung kepada negeri-negeri berhampiran untuk memberi kerjasama...supaya ada unsur-unsur penganjuran bersama pada 2014 nanti," katanya.

Hampir 9,000 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen termasuk kontinjen jemputan Brunei telah mengesahkan penyertaan pada edisi ke-13 Sukma di Melaka.

Temasya kali ini akan mempertandingkan 33 jenis sukan dengan melibatkan 417 acara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain