suria

Nicol Layak Ke Suku Akhir Skuasy Terbuka KL

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David memulakan pemburuan kejuaraan keenam pada Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB dengan menundukkan Jaclyn Hawkes dari New Zealand dalam saingan di Pusat Skuasy Kebangsaan di Bukit Jalil malam ini.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya memerlukan masa 37 minit untuk menundukkan lawannya 11-7, 11-8 dan 11-2 untuk layak ke suku akhir.

"Dia (Hawkes) beraksi baik ketika menentang pemain handalan yang lain. Kerana itu, saya kena memberikan tumpuan dan memastikan dia tidak menguasai permainan," kata Nicol.

"Pada permainan kedua apabila dia mula menguasai keadaan, saya tahu saya kena bangkit. Selepas saya menang permainan kedua, saya kena perbaiki permainan pada permainan ketiga," katanya.

Lawan Nicol pada suku akhir adalah pemain Australia Kasey Brown yang pernah beliau tewaskan pada separuh akhir Terbuka Chennai awal bulan ini.

"Saya pernah menang ke atas beliau di Chennai. Saya hanya mahu mengulangi apa yang saya lakukan di India dan saya mengharapkan permainan yang baik sekali lagi," kata Nicol.

Brown layak ke suku akhir setelah menundukkan Sarah Kippax dari England 11-6, 11-4 dan 11-5 dalam masa 33 minit. Nicol memburu kejuaraan keenam selepas muncul juara pada 2000, 2002, 2005, 2007 dan 2008.

Sementara itu, kurang pengalaman aksi peringkat antarabangsa jelas menjadi halangan utama buat seorang lagi pemain negara Delia Arnold apabila beliau tunduk kepada pemain England Alison Waters dalam saingan lima set yang berlanjutan selama satu jam dan 15 minit.

"Saya gagal menangani tekanan. Apa yang saya mahu adalah lebih banyak aksi menentang pemain dalam kelompok 10 terbaik untuk memperbaiki permainan saya," kata Delia yang tewas 11-7, 16-14, 3-11, 9-11 dan 9-11. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain