suria

LTDL 2010 Guna 100 Peratus Kepakaran Tempatan

KOTA BAHARU: Perlumbaaan jelajah berbasikal terulung di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) edisi ke-15 yang bermula di sini esok, buat pertama kalinya sejak dianjurkan pada 1996, menggunakan hampir 100 peratus khidmat tenaga kerja dan kepakaran rakyat tempatan.

Ia membuktikan kemampuan rakyat Malaysia tanpa bergantung kepada tenaga pakar dari luar negara dalam menganjurkan kejohanan jelajah berbasikal yang paling berprestij di luar benua eropah.

"Cuma pada kali ini, kita masih memerlukan dan menggunakan kepakaran orang luar di bahagian 'photo finish' kerana ketiadaan pakar tempatan untuk bahagian teknikal itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2010, Mohamed Salleh.

"Jadi pertukaran teknologi itu telah berlaku dan berjaya sejak 1996 kerana sebelum ini kita banyak menggunakan kepakaran orang luar untuk menjayakan perlumbaan berstatus 2.0 hors (pendakian tertinggi di dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) ini," katanya.

Oleh sebab itu Mohamed berkata mutu penganjuran tidak akan terjejas walaupun ia merupakan pertama kali dianjurkan KBS dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) serta dengan peruntukan kewangan yang terhad sebanyak RM7.5 juta.

Pada masa yang sama, Mohamad berkata perlumbaan itu akan sedikit sebanyak memberikan "tempias" ekonomi kepada pelbagai pihak secara langsung atau tidak langsung sepanjang penganjurannya selama seminggu dari 1 hingga 7 Mac. "Pelbagai aktiviti yang dijalankan sama ada secara kecil atau besar berkaitan dengan penganjuran kejohanan ini akan memberi manafaat kepada semua pihak terutamanya dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan," katanya kepada Bernama.

"Kita juga tidak pernah lari dari matlamat asal penganjuran kejohanan ini untuk mencungkil bakat-bakat baru sukan berbasikal di negara ini," katanya. Perlumbaan LTdL tahun ini akan membabitkan persaingan 20 pasukan dengan tujuh peringkat perlumbaan sejauh 1013.9 kilometer untuk merebut hadiah keseluruhan bernilai RM710,650, peningkatan kira-kira RM190,000 berbanding tahun sebelumnya.

Peringkat pertama LTdL 2010 akan bermula di Kota Bharu, Kelantan menyusuri beberapa negeri seperti Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Putrajaya, Selangor dan berakhir di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Perlumbaan pada tahun ini dianggap mencabar kerana di samping cuaca panas (30 darjah celsius), pelumba terpaksa berhadapan tiupan angin Laut China Selatan di sepanjang laluan negeri-negeri di pantai timur termasuk di Johor.

Edisi ke-15 tahun ini menjanjikan persaingan sengit dan terbuka sehingga ke peringkat terakhir perlumbaan untuk menentukan pemenang mutlak semua kategori iaitu juara individu keseluruhan, raja pecut, raja bukit, pelumba terbaik Asia, pasukan terbaik keseluruhan dan pasukan terbaik Asia.

Ini kerana penganjur turut menampilkan kelainan tahun ini dengan para pelumba yang bersaing untuk memburu gelaran Raja Bukit perlu mengumpul mata pendakian pada setiap peringkat termasuklah peringkat keenam dari Putrajaya ke Genting Highlands, peringkat pendakian paling getir dan mencabar.

Satu lagi kelainan yang ditampil penganjur ialah peringkat ketujuh akan bermula di Kuala Kubu Baharu, Selangor dan berakhir di Kuala Lumpur dengan pelumba-pelumba perlu melakukan enam pusingan sebelum melepasi garisan penamat di mana peringkat ini turut menawarkan mata pecutan dan pendakian. Malah tanpa kehadiran dua pasukan Pro Tour ternama, iaitu Astana (Kazakhstan) dan Caisse D'Epargne (Sepanyol) yang menarik diri pada awal bulan ini serta tanpa kehadiran juara bertahan, pasukan Diquigiovanni-Androni, perlumbaan tetap mencabar terutamanya bagi merebut jersi pelumba dan pasukan terbaik Asia kerana terdapat 13 pasukan yang bersaing.

Cabaran pasukan tempatan pula diketuai oleh pasukan kebangsaan yang pastinya perlu berusaha dengan keras bagi memastikan sasaran tempat ke-12 daripada 20 pasukan yang bertanding tercapai.

Manakala pasukan benua negara, Le Tua memasang impian besar untuk meraih juara individu keseluruhan serta mempertahankan gelaran pelumba terbaik Asia dengan membariskan tiga pelumba Sepanyol, seorang Australia dan Ng Yong Li serta Mohd Hafiz Rozli selaku pelumba tempatan.

Empat pelumba tempatan turut mewakili pasukan berstatus benua dari luar negara pada edisi tahun ini dengan Anuar Manan (Geumsan Ginseng Asia dari Korea Selatan), Adiq Husainie Othman (Drapac Porsche dari Australia) dan Loh Sea Keong serta Ahmad Haidar Anuawar pula mewakili pasukan Marco Polo Cycling Team dari China.

Secara keseluruhan LTdL tahun ini menampilkan hanya satu pasukan berstatus Pro Tour iaitu Footon-Sevetto dari Sepanyol serta dua pasukan profesional benua iaitu ISD-Neri (Itali) dan Vorarlberg-Corratec (Austria).

Selebihnya adalah 13 pasukan bertaraf benua iaitu Drapac Porsche (Australia), Tabriz Petrochemical (Iran), Seoul Cycling Team (Korea Selatan), Marco Polo Cycling Team (China), Aisan Racing Team (Jepun), Max Success Sport (China), Le Tua Cycling Team (Malaysia), Team Geumsan Ginseng Asia (Korea Selatan), Team Jayco- Skins (Australia), Azad University (Iran), Giant Asia Racing Team (Taiwan), Polygon Sweet Nice (Indonesia) dan Kelly Benefit Strategies (Amerika Syarikat).

Selain Malaysia yang menampilkan pasukan kebangsaan, tiga lagi adalah Afrika Selatan, Kazakhstan dan Thailand yang kali pertama mengambil bahagian.

Peringkat perlumbaan LTdL 2010:

1: Kota Baharu - Kuala Berang (174.5km) 2: Kuala Terengganu - Chukai (182.3km) 3: Pekan - Mersing (145.6km) 4: Mersing - Parit Sulong (163.5km) 5: Muar - Port Dickson (111.5km) 6: Putrajaya - Genting Highlands (102.8km) 7: Kuala Kubu Baru - Dataran Merdeka (133.7km) -BERNAMA

Artikel Sebelum

Spurs, Liverpool Menang

Artikel Berikut

Artikel Lain