suria

Malaysia Kemuka Bidaan Anjur Sukan Asia 2019

KUALA LUMPUR: Malaysia telah mengemukakan bidaannya bagi menganjurkan Kongres Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) 2013 dan Sukan Asia 2019 kepada Majlis Olimpik Asia (OCA), November lalu, kata Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (OCM) Datuk Sieh Kok Chi.

Sieh berkata dokumen-dokumen, yang dikenali sebagai Surat Hasrat, telah dikemukakan dengan kelulusan kerajaan.

"Keputusan untuk mengadakan kongres itu hanya akan diketahui tidak lama lagi. Tapi keputusan bagi hos Sukan Asia 2019 hanya akan diketahui menjelang 2012. Ia merupakan proses yang panjang dan memenatkan terutama dalam membida Sukan Asia," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata bagi Kongres IOC 2013, OCM akan membuat representasi semasa sesi IOC di Vancouver, Kanada pada 10 Februari depan sebelum 115 anggota IOC mengundi.

"Selain Malaysia, Argentina juga membuat bidaan untuk menjadi hos kongres itu. Tapi ia adalah lebih signifikan kepada Malaysia jika kita diberi peluang bagi menjadi hos kongres, ia akan mengukuhkan bidaan Kuala Lumpur bagi menjadi hos Sukan Asia," katanya.

Bagi Sukan Asia 2019, Sieh berkata beliau mendapat tahu bahawa Dubai juga berminat untuk menjadi hos sukan itu terutama sekali apabila jirannya, Doha, berjaya sebagai hos Sukan Asia 2006.

Sebelum ini, Malaysia hampir menjadi hos dua Sukan Asia tetapi tewas kepada Qatar untuk menganjurkan Sukan Asia 2006 manakala satu lagi peluang untuk menjadi hos Sukan Asia 2010 telah diserahkan kepada Guangzhou, China selepas kerajaan menolaknya berikutan kos yang begitu besar.

Korea Selatan akan menjadi hos Sukan Asia 2014 di Incheon.

Ketika ditanya berhubung hasrat Malaysia untuk menjadi hos kepada pelbagai acara sukan, beliau berkata setakat ini kerajaan hanya berminat untuk menjadi hos Sukan Asia 2019.

OCA dalam laman web rasminya hari ini mengingatkan 45 Jawatankuasa Olimpik kebangsaannya (NOC) bahawa tarikh akhir bagi mengisytiharkan minat mereka bagi menganjurkan pelbagai acara sukan ialah pada 31 Mac tahun ini.

Menurut laman web itu, OCA mempelawa bidaan bagi acara-acara berikut - Sukan Dalam Gelanggang Asia/Sukan Seni Bela Diri pada 2013 dan 2018, Sukan Remaja Asia pada 2013 dan 2017, Sukan Pantai Asia pada 2016 dan 2020, Sukan Musim Sejuk Asia pada 2017 dan 2021, Sukan Asia pada 2019 dan 2023.

"NOC yang berminat untuk membida bagi sukan-sukan ini diminta supaya mengemukakan surat hasrat rasmi mereka kepada OCA menjelang 31 Mac," menurut laman web itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain