suria

Pasukan Compound Wanita Raih Pingat Perak

VIENTIANE: Pada awalnya tiada pingat disasarkan kepada pasukan memanah compound wanita di Sukan SEA Laos ini tetapi kejayaan melangkah ke perlawanan akhir adalah suatu pencapaian yang membanggakan.

"Kita (Malaysia) hanya menyertai acara compound wanita bermula di Sukan SEA Manila dan semuanya berakhir tanpa sebarang pingat. Kejayaan mereka (pemanah) melangkah ke perlawanan akhir acara berpasukan adalah suatu pencapaian besar," kata jurulatih Malaysia Adnan Ahmad.

Katanya, jika atlet meraih pingat gangsa sekalipun, ia adalah pencapaian terbaik untuk pasukan compound wanita itu kerana mereka baru sahaja digandingkan dua minggu sebelum Sukan SEA Laos.

"Pada perlawanan akhir hari ini, kita hanya tiga mata kurang daripada Myanmar. Saya nasihatkan mereka supaya bermain seperti biasa dan jangan berasa tertekan," katanya.

Pasukan Malaysia yang terdiri daripada Fatin Nurfatehah Mat Salleh, Nurhidayah Abdul Latip dan Saritha Cham Nong, hanya mengutip 214 mata berbanding Myanmar yang mengutip 217 mata. Malaysia melangkah ke perlawanan akhir bertemu juara bertahan Myanmar selepas menewaskan Thailand 211204 di saingan separuh akhir.

Sementara itu, pasukan recurve lelaki Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dan hanya berpuas hati dengan pingat perak.

Pasukan Malaysia yang diketuai pemanah Olimpian Cheng Chu Sian dan dua pemanah pelapis elit, Arif Farhan Ibrahim Putra dan Fadzli Hisham Fauzi hanya ketinggalan dua mata di belakang pemanahpemanah Thailand, yang mengutip 214 mata.

Pingat gangsa acara recurve berpasukan lelaki menjadi milik Myanmar.

"Selepas pusingan kedua, kami mendahului dengan tiga mata tetapi pada pusingan terakhir saya akui saya merasa sedikit gementar dan gugup. Bagaimanapun, ini pengalaman amat berguna kepada saya," kata Arif Farhan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain