suria

Pasukan Lotus F1 diberi nombor 18 dan 19

PETALING JAYA: Pasukan Lotus F1 akan menggunakan nombor 18 dan 19 yang ditetapkan oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada kereta-kereta lumbanya.

Nombor-nombor tersebut memberikan perangsang kepada pasukan Lotus F1 untuk julung kali beraksi pada musim kejohanan dunia tahun depan.

Ini meletakkan pasukan Lotus F1 yang disokong oleh Malaysia pada tangga tertinggi di kalangan pasukan-pasukan baru.

Selain Lotus, tiga pasukan baru untuk musim 2010 ialah Campos Meta 1 (No. 20 dan 21), US F1 Racing (22 dan 23) dan Virgin Racing (24 dan 25).

Sebanyak 12 pasukan akan bertanding dalam musim F1 yang paling lama iaitu 19 perlumbaan.

Pasukan-pasukan tersebut terdiri daripada McLaren, Ferrari, Mercedes Grand Prix, Red Bull, Williams, Renault, Force India dan Toro Rosso.

Juara dunia Jenson Button akan membawa label 'No. 1' kepada McLaren dan rakan sepasukannya ialah Lewis Hamilton.

Ini bermakna kedua-dua pelumba pasukan McLaren berasal dari Britain.

Nombor 13 yang disifatkan "tidak bertuah" sekali lagi tidak berada dalam senarai FIA.

Ketua Pegawai Eksekutif Lotus F1 Riad Asmat berkata keseluruhan ahli-ahli pasukannya berpuas hati dengan gembira dengan senarai pasukan dengan nombor masing-masing yang dikeluarkan oleh FIA.

"Kami mendapat pengesahan daripada FIA bahawa kita akan menerima No. 18 dan 19. Ini bermakna pasukan kita berada di tangga teratas di kalangan pasukan-pasukan baru," katanya.

Riad berkata, setiap ahli pasukan berasa gembira mendengar berita itu dan sedang bekerjasama memastikan pasukan mereka bersedia sebelum musim baru bermula pada Mac.

"Rancangan kami adalah menyiapkan kereta-kereta lumba itu dan mengujinya di Litar Sepang pada Februari tahun depan," katanya.

Riad berulang-alik antara Eropah dan Malaysia dalam beberapa minggu ini bagi memastikan operasi berjalan dengan lancar.

Beliau bukan sahaja memeriksa loji Lotus - kereta-kereta kini sedang dipasang di Norfolk, England, bahkan berbincang mengenai penggajian pemandu-pemandu.

Katanya, mereka berharap dapat memuktamadkan barisan pelumba pasukan pada minggu depan.

"Kami akan menamakan dua pemandu dan seorang pemandu simpanan. Perundingan masih sedang dijalankan," kata Riad.

Fairuz Fauzy dari Malaysia ialah antara calonnya dan dia berkemungkinan menjadi pemandu simpanan, menurut Pengarah Teknikal, Mike Gascoyne.

Jelasnya, pasukan itu berharap mendapatkan pelumba-pelumba berpengalaman untuk memberikan cabaran pada musim pertama itu.

Cakap-cakap paddock menyebut bekas pemandu Toyota, Jarno Trulli, Kamui Kobayashi, Takuma Sato dan bekas juara dunia F1, Jacques Villenueve antara calon-calon yang merebut dua tempat utama pasukan Lotus F1.

Artikel Sebelum

Fairuzizuan/ Zakry Tertekan

Artikel Berikut

Artikel Lain