suria

Zainal Dipilih Semula Sebagai Anggota Kelana IPC

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPC) Datuk Zainal Abu Zarin telah dipilih semula sebagai seorang daripada 10 Anggota Kelana di Perhimpunan Agung ke 14 Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang berlangsung di sini hari ini.

Zainal, yang juga Presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia, pertama kali dipilih ke jawatan itu pada pemilihan 2005, akan memegang jawatan itu untuk tempoh empat tahun lagi hingga 2013.

"Pemilihan semula Zainal adalah penting oleh kerana beliau mempunyai sifat-sifat yang sesuai. Beliau mempunyai keazaman kuat, seorang pemain baik dalam pasukan, dan mampu mengembangkan nilai-nilai gerakan olimpik dengan berkesan," kata presiden IPC, Sir Philip Craven kepada Bernama.

Sir Philip Craven dari Great Britain juga dipilih semula ke jawatan Presiden selepas menerima 118 daripada 130 undi untuk penggal empat tahun lagi.

Sementara naib presiden dimenangi oleh warga Australia Greg Hartung dengan majoriti 66 undi.

Zainal berkata dengan kejayaannya mengekalkan jawatan itu, beliau akan meneruskan agenda gerakan paralimpik khususnya di rantau Asia.

Perhimpunan Agung ke 14 IPC yang bermula pada 19 Nov, dihoskan oleh Majlis Paralimpik Malaysia, juga menyaksikan kemasukan atlet yang tiada keupayaan intelektual (ID athletes) untuk menyertai pertandingan, termasuk Paralimpik akan datang di London pada 2012.

Sementara itu, sembilan Jawatankuasa Paralimpik Nasional iaitu Brunei Darussalam, Montenegro, Mozambique, Norway, Portugal, Singapura, Somalia, Afrika Selatan, dan Trinidad & Tobago, disahkan sebagai anggota IPC.

Selain itu, International Archery Federation (FITA) menyertai IPC sebagai anggota.

Diasaskan pada 22 September 1989, IPC adalah sebuah organisasi tanpa matlamat keuntungan dibentuk dan dikendalikan oleh lebih 160 Jawatankuasa Paralimpik Nasional (NPC) dari lima rantau dan empat persekutuan sukan antarabangsa dengan ketidakupayaan khusus (IOSDs). Ibu pejabat IPC dan kumpulan pengurusannya terletak di Bonn, Jerman. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain