suria

Pemain Thai juara Kejohanan Golf Heritage Melaka Klasik

MELAKA: Pemain golf dari Thailand, Thaworn Wirathchant muncul juara Kejohanan Golf Heritage Melaka Klasik di Tiara Melaka Golf and Country Club di sini, hari ini.

Thaworn, bekas pemain nombor satu Order of Merit Jelajah Asia pada 2005, memenangi kejohanan itu dengan membuat 276 pukulan 12 bawah par bagi mengatasi pemain Singapura, Lam Chih Bing yang membuat 277 pukulan 11 bawah par, sepanjang empat hari kejohanan itu berlangsung dengan menawarkan hadiah keseluruhan US$50,000.

Madan Mamat dari Singapura yang pernah memenangi Kejohanan Mercedes Benz Master di negaranya menduduki tempat ketiga dengan membuat 278 pukulan 10 bawah par.

Dua pemain Malaysia, Ben Leong dan S.Siva Chandran hanya mampu berkongsi pada kedudukan keempat dengan membuat 280 pukulan lapan bawah par.

Thaworn membawa pulang hadiah US$8,126 dan sebuah piala iringan, Chih Bing memperoleh US$5,616 manakala Leong dan Siva sebanyak US$2,301.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyampaikan hadiah berkenaan kepada pemenang.

Seramai 134 peserta menyertai kejohanan itu termasuk dari Filipina, Indonesia, Brunei, Korea Selatan, Jepun, China, Australia dan India.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Ali berkata Melaka menawarkan lima padang golf bertaraf antarabangsa kepada peminat golf di seluruh dunia.

Katanya pelancong asing termasuk dari Amerika Syarikat, negara Eropah, China, Jepun, Singapura dan Taiwan yang berkunjung ke Melaka tidak melepaskan peluang bermain golf kerana kos yang ditawarkan lebih murah berbanding negara mereka.

Keputusan akhir selepas empat pusingan: 276 Thaworn Wiratchant (THA) 69697068. 277 Lam Chih Beng (SIN) 69676873. 278 Mardan Mamat (SIN) 71697167. 280 Ben Leong (MAs) 72697267, S. Sivachandran (MAs) 71697169. 281 Antonio Lascuna (PHL) 68667275. 282 Sattaya Supuramai (THA) 63756975. 283 Juvic Pagunsan (PHL) 70776769. 284 M Ramayah (MAs) 73736969, Mohd Shaaban Hussin (MAs) 69757070, Airil Rizman (MAs) 68717273, Ferdie Aunzo (PHL) 69717074. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain