suria

Tiada lagi wakil Malaysia di Terbuka Singapura

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mempunyai wakil pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura hari ini selepas dua beregu negara gagal melepasi perlawanan suku akhir di Stadium Tertutup Singapura semalam.

Harapan Malaysia yang disandarkan kepada beregu wanita pilihan utama Chin Eei Hui-Wong Pei Tty nyata meleset apabila tewas kepada beregu Indonesia Nitya Krishinda-Maheswari Greysia Polii dalam masa 59 minit.

Walaupun berjaya memenangi set pertama 21-17, Eei Hui-Pei Tty gagal mengekang kebangkitan pasangan Indonesia itu yang memenangi dua set berikutnya dengan keputusan 21-16 dan 21-19.

Terdahulu itu, beregu lelaki negara Gan Teik Chai-Tan Bin Shen turut ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Denmark, Lars Paaske-Jonas Rasmussen pada perlawanan straight set.

Paaske-Rasmussen, yang merupakan pilihan keempat kejohanan, hanya mengambil masa 34 minit untuk menyingkirkan Teik Chai-Bin Shen dengan keputusan 21-15 dan 21-17. BERNAMA

Artikel Lain