suria

Rizal buktikan kejaguhan di Iran

KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal trek kebangsaan, Mohd Rizal Tisin terus mempamerkan kejaguhan di peringkat antarabangsa apabila memenangi dua pingat emas dan dua perak semasa beraksi pada satu kejohanan tempatan di Iran, minggu lepas.

Rizal yang mewakili kelab Azad University memenangi acara keirin dan ujian masa satu kilometer manakala perak diraih dalam acara pecut 200 meter dan pecut berpasukan.

"Walaupun kejohanan ini membabitkan pelumbapelumba tempatan (Iran), ia merupakan satu kejohanan yang bagus sebab saya baru memulakan latihan setelah kali terakhir beraksi pada Kejohanan Dunia di Poland, Mac lepas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pelumba kelahiran Klang itu berkata selepas ini beliau mungkin akan menyertai dua lagi kejohanan seperti itu yang membabitkan pasukanpasukan tempatan di Iran namun bergantung sejauh mana pasukannya itu memerlukan khidmatnya.

"Buat masa sekarang saya akan menjalani latihan di Majlis Sukan Negara mengikut program yang telah diberikan oleh jurulatih berbasikal kebangsaan, John Beasley," katanya.

Menurut Rizal kejohanan utama yang akan dilaluinya selepas ini adalah Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) pada Ogos ini yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia.

"Selepas itu, saya akan kembali ke Melbourne, Australia bersamasama rakan sepasukan yang lain bagi menjalani latihan menghadapi siri Piala Dunia di Manchester, England yang dijangka berlangsung pada Oktober," katanya.

Rizal juga kini boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kerjayanya sebagai atlet berbasikal setelah diterima bekerja dengan Suruhjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Putrajaya sejak sebulan yang lepas.

Pelumba berusia 24 tahun itu merupakan pemegang rekod Asia dalam acara ujian masa satu kilometer iaitu 1 minit 01.658 saat yang dilakukannya ketika memenangi gangsa pada Kejohanan Dunia di Poland, Mac lepas. BERNAMA

Artikel Lain