suria

Fauziah Sarman perli menantu, anggap dia dan Ubai tiada beza - “Awak juga cuci kaki masuk rumah”

Fauziah didakwa turut memerli menantunya, Ubai.

SUSULAN pelbagai kata-kata negatif dilemparkan terhadapnya susulan isu Shila Amzah mahu menjual banglo yang didiami keluarganya, ibu penyanyi itu turut dilihat memerli menantunya.

Fauziah, 56, dalam nada sarkastik mendakwa menantunya iaitu Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, juga menumpang kemewahan selepas berkahwin dengan Shila.

Melabel Ubai sebagai 'orang luar', Fauziah turut mengucapkan terima kasih kepadanya kerana melayan dia sebegini selepas menatangnya sebagai anak sendiri.

"Untuk 'orang luar' yang pernah emak tatang bagaikan anak sendiri, terima kasih melayan emak begini.

MAMA - 1

Perkongsian Fauzian di Instagram miliknya.

"Untuk 'orang luar' yang baru memiliki Nurshahila, terima kasih membuat keseimpulan yang hanya memenangkan diri kalian," katanya.

Fauziah meluahkan perasaannya berhubung kontroversi melanda keluarganya menerusi hantaran di Instagram pada awal pagi Jumaat.

Bagaimanapun, hantaran tersebut sudah pun dipadam.

Dalam pada itu, Fauziah berkata, dia dan menantunya tiada perbezaan kerana Ubai juga 'cuci kaki' ketika melangkah masuk ke rumah anaknya selepas mereka berkahwin.

ARTIKEL BERKAITAN: Fauziah Sarman terguris kata-kata kesat Shila Amzah, belum mampu maafkan anak - "Hati emak sudah dikisar halus"

ARTIKEL BERKAITAN: Adik lelaki dedah kronologi isu jual banglo... Dakwa Shila Amzah datang tendang pintu rumah, tengking ibu 'tak ada otak'

"Kita tiada beza... Awak juga cuci kaki masuk rumah," katanya lagi.

Semenjak isu anak-beranak itu menjadi perhatian, Fauziah turut menjadi sasaran kecaman yang diantaranya mempersoalkan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu.

Malah ada menuduhnya mengambil kesempatan terhadap kejayaan Shila sebagai penyanyi untuk terus bekerja bagi menyara keluarga.

Pada Isnin lalu, adik bongsu Shila iaitu Syada Amzah mendakwa dia bakal dihalau keluar daripada kediamannya yang didakwa bakal dijual.

Shila atau Nurshahila Amir Amzah, 33, menafikan dakwaan dia menghalau adik-beradiknya daripada banglo tersebut.

ubai - 1

Shila dan Ubai berdepan ujian masalah keluarga.

Jelas Shila, tujuan dia mahu menjual banglo berkenaan kerana ingin mencari rumah baharu yang lebih selesa untuk ibu mereka.

Isu ini terus berlarutan apabila Syafiq mendedahkan Shila tidak membuat sebarang perbincangan sebelum berhasrat menjual rumah tersebut.

Dia juga mendakwa Shila berniat menjual rumah tersebut kerana memiliki nilai tinggi dalam pasaran.

Tidak terhenti di situ, Shila didakwa datang ke rumah keluarganya dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Fauziah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain