suria

Tuduhan rosak palang pagar digugurkan, Awal Ashaari dan pengadu selesai kes luar mahkamah 

Awal hadir ke mahkamah ditemani peguamnya, Datuk M Reza Hassan.

PENGACARA dan pelakon Awal Ashaari menarik nafas lega apabila tuduhan berhubung melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar kawasan perumahannya di Damansara pada April tahun lalu digugurkan.

Keputusan itu dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada pagi Selasa selepas semua pertuduhan terhadapnya ditarik semula oleh pengadu.

Meluahkan rasa syukur, Awal atau Ahmad Awaluddin Ashaari, 42, berkata, kes itu juga berjaya diselesaikan secara baik antara pihak terlibat di luar mahkamah.

"Syukur kes ini telah digugurkan. Selepas setahun ia berjalan dan telah banyak kali tangguh akhirnya selesai.

awal ashaari 3

Pada Mei tahun lalu, Awal dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Mahkamah memutuskan dakwaan terhadap saya digugurkan. Pihak pengadu juga telah menarik semula dakwaan terhadap saya. Semua dapat diselesaikan secara baik," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Awal sebelum itu menerusi Instagram berkongsi foto dia hadir ke mahkamah bersama peguam, Datuk M Reza Hassan bagi mendengar keputusan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Awal Ashaari rosakkan pagar rumah ditunda April depan

ARTIKEL BERKAITAN: Awal Ashaari didakwa lakukan khianat, rosakkan palang pagar perumahan

Dalam pada itu, Awal memberitahu dia bertindak bersemuka dengan pihak pengurusan kawasan perumahan tersebut baru-baru ini bagi menyelesaikan isu berkenaan di luar mahkamah.

Kata Awal, pada pertemuan itu, semua pihak merendahkan diri mengakui kesilapan masing-masing sebelum memutuskan untuk tidak lagi memanjangkan kes di mahkamah.

"Ketika sambutan ulang tahun lalu, saya rasakan tak perlu lagi nak panjangkan kes ini. Saya pun tinggal di kawasan tersebut. Jadi saya berjumpa mereka dan berbincang secara baik.

Awal (kanan) lega kes mahkamah dapat diselesaikan secara baik.

Awal menyifatkan penyelesaian kes itu sebagai hadiah hari jadi.

"Saya sedar atas kesilapan yang berlaku dan semua pihak juga mengaku kesalahan masing-masing. Mungkin semasa kejadian itu kesabaran saya di uji ketika bulan Ramadan," ujarnya.

Tambahnya, keputusan itu disifatkan sebagai hadiah bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya pada 6 Ogos lalu.

Pada Mei tahun lalu Awal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar di ondok pengawal perumahan di PJU3/30 Petaling Jaya.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 11.30 pagi, 16 April 2022 dan menyebabkan kerugian dianggarkan RM600.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain