suria

Polis sahkan wanita muncul di kafe bukan Zalina Azman tetapi gelandangan

Usaha mencari Zalina Azman masih dibuat.

POLIS mengesahkan wanita mirip Zalina Azman yang didakwa singgah ke sebuah kafe di Seksyen 9 pada Ahad lalu bukan bekas personaliti televisyen tersebut sebaliknya adalah gelandangan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner, Mohd Iqbal Ibrahim ketika ditemu bual dengan Buletin 9 pada Rabu memaklumkan perkara itu selepas membuat semakan dan berkunjung ke lokasi berkenaan untuk mengesahkan dakwaan tersebut.

"Selepas berita hebahan kehilangan Zalina Azman kita menerima beberapa maklumat daripada orang awam mengatakan melihat kelibatnya di sekitar Shah Alam, taman tasik, restoran dan sebagainya.

"Bagaimanapun selepas kita buat semakan dan pergi ke tempat-tempat yang diberitahu dan berjumpa dengan individu-individu berkenaan mendapati bukan orang yang kita cari.

1664790

Foto terkini Zalina bersama sahabat baiknya, Datuk Ras Adiba Radzi.

"Memang ada jumpa tetapi wanita itu adalah gelandangan dan bukannya Zalina Azman," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemilik kafe dakwa dikunjungi wanita seperti Zalina Azman dalam ketakutan sambil berkata “saya takut besi”

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya kenal penampilannya” - Ras Adiba minta rakam jika terserempak wanita mirip Zalina Azman, teruskan misi pencarian hari kedua

Terdahulu, mStar melaporkan pemilik kafe di Seksyen 9 Shah Alam mendakwa wanita mirip Zalina muncul di restoran miliknya kira-kira pukul 1 petang dalam keadaan seperti cemas dan menggigil ketakutan.

Insiden itu diceritakan oleh Mosyuki Borhan di Twitter miliknya pada Selesa selepas tersentak membaca laporan tentang kehilangan seorang bekas personaliti televisyen terkenal.

Meskipun tidak dapat dipastikan wanita yang hadir ke kafe itu adalah Zalina namun lelaki itu terpanggil untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa kerana bimbang ada kaitan dengan misteri kehilangannya.

1664742

Kehilangan Zalina masih menjadi misteri.

Sementara itu, Mohd Iqbal turut memaklumkan belum merakam percakapan individu yang mendakwa melihat kelibat Zalina namun akan meneliti rakaman kamera litar tertutup berdekatan untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Pihaknya juga masih mengharapkan maklumat disalurkan bagi membantu siasatan dan pencarian sehingga Zalina ditemui.

Pada malam Isnin lalu, pihak berkuasa memaklumkan kehilangan seorang wanita berbangsa Melayu bernama Zalina Shaharah Azman berumur 58 tahun.

Fizikal Zalina turut disifatkan sebagai berkulit hitam manis, bertubuh kecil selain alamat terakhirnya di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Anak lelaki Zalina membuat laporan tentang kehilangannya sejak 29 November tahun lalu selepas usaha mencari dan menghubungi sejak 24 November lalu gagal bagi memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain